Published On: Sat, May 25th, 2013

Teduhan Kasih satukan Sherry, Adi Putra dan Shah Iskandar

Share This
Tags

MENYUSUL selepas drama Sedetik Cinta yang bakal melabuh tirai minggu depan, sebuah lagi drama adaptasi novel akan menghiasi slot Akasia berjudul Teduhan Kasih.

Drama hasil garapan sutradara Jamal Khan yang mengangkat nukilan skrip daripada Mufi d Shuhaimi ini bakal mengetengahkan pelakon popular seperti Adi Putra, Sherry Ibrahim, Shah Iskandar, Nabila Huda, Zarina Zainuddin, Talha Harith, Rahim Omar, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Drama Teduhan Kasih ini bakal menemui penonton bermula 15 Mei ini pada setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam di saluran TV3.

Mengisahkan tentang perjalanan seorang wanita (Iffa) yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan setelah mengetahui suami (Ryzal) yang dicintai telah menjalinkan hubungan bersama teman baiknya (Ayu). Lebih menyakitkan ketika terpaksa mengharungi situasi yang sukar, Iffa disahkan mengandung dan terpaksa melindungi kandungannya seorang diri memandangkan dia telah diceraikan Ryzal dan pada masa sama dihalau daripada rumah yang mereka duduki bersama.

Sejak itulah Iffa terpaksa mencari haluan hidupnya sendiri dan perbuatan Ryzal dan Ayu begitu meninggalkan kesan mendalam buat hidupnya.

Sempat menghadiri Jemputan Media Ke Ramah Mesra Teduhan Kasih Rabu lalu, Zass mendapatkan pelakon utamanya berkongsi pengalaman terlibat dalam drama ini dan juga perkembangan semasa mereka.

Sherry Ibrahim gementar

Dua tahun menyepikan diri dari bidang lakonan, kini pelakon Sherry Ibrahim muncul semula menerusi lakonan utama dalam drama ini.

Menurut Sherry, selesai kontrak berkhidmat sebagai pramugari bersama Qatar Airways dia mengambil keputusan untuk kembali mewarnai industri hiburan tanah air.

“Sebenarnya, tawaran lakonan ini datang secara kebetulan ketika saya telah habis kontrak bersama Qatar Airways. Ketika itu saya sedang mencari peluang untuk bekerja dengan syarikat penerbangan lain.

“Atas sebab tidak mahu melepaskan peluang yang datang, saya bersetuju untuk menerima tawaran lakonan ini. Saya amat berterima kasih kepada pengarah dan penerbit kerana beri kepercayaan kepada saya untuk bawa watak utama dalam drama ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman berlakonan dalam drama ini, Sherry akui dirinya agak gementar berhadapan dengan lensa kamera pada awal sesi penggambaran.

“Maklumlah, sudah lebih dua tahun saya tinggalkan bidang ini. Perasaan gugup itu memang tidak dapat saya elakkan tambahan pula saya diberi watak besar.

“Saya akui masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam lakonan saya dan mengharapkan lakonan kali ini akan diterima baik penonton,” katanya.

Tidak lagi berhubung dengan Ashraf

Diminta mengulas lanjut mengenai spekulasi yang mengatakan bekas kekasihnya, Ashraf Muslim bakal bernikah lain atas persetujuan isteri pertamanya, Sherry bagaimanapun tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Kata Sherry, sejak berpisah dia tidak pernah berhubung dengan aktor itu.

“Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang mengambil tahu tentang perkembangan gosip. Lagi pun saya sepenuhnya telah ‘move on’ dan mahu beri perhatian terhadap kehidupan baru saya.

“Soal dia mahu bernikah lagi itu, memang saya tidak tahu apa-apa.

Tapi kalau ditanya pendapat saya, perkara itu adalah hak dia. Lagi pun lelaki boleh berkahwin empat.

“Kalau isterinya telah izinkan, apa salahnya. Tapi terpulanglah pada masing-masing,” jelasnya.

Adi Putra janji kelainan

Memegang watak sebagai Ehsan, pelakon tampan, Adi Putra berjanji bakal membawa kelainan menerusi drama ini bagi mengelakkan persamaan karakter dari adaptasi yang pernah digalasnya sebelum ini. Menurutnya, Ehsan adalah seorang lelaki yang sebelum ini tidak pernah mengambil pusing terhadap pasangan hidup dan karakternya lebih menunjuk kepada perbuatan.

“Walaupun tidak pernah mempedulikan tentang masa hadapan, namun itu bukanlah bermakna dia seorang yang jahat, tapi tidak ada sebab untuk dia memikirkan soal itu.

“Sehinggalah dia mengenali Iffa, Ehsan mula berubah setelah perit yang dilalui wanita itu benar-benar meninggalkan kesan terhadap dirinya,” jelasnya mengenai karakter yang dibawa.

Katanya lagi, kelainan perlu ada dalam setiap lakonan supaya jalan cerita untuk drama adaptasi ini menjadi lebih segar dan menarik.

“Apa yang saya cuba tonjolkan dalam drama ini adalah dari segi pembawaan watak Ehsan supaya ia nampak seperti individu yang yang berbeza daripada lakonan adaptasi saya yang lain.

“Saya akui walaupun sudah lama berlakon, namun perkara ini sedikit sebanyak beri cabaran yang besar buat saya. Tapi sebagai pelakon, inilah kerja saya,” katanya.

Bergelar pengarah

Selain bergelar pelakon, Adi kini sibuk di lokasi filem Suami Aku Ustaz yang dijalankan di Melaka, yang mana buat pertama kali dia juga sebagai pengarah dan bekerjasama dengan sutradara yang tidak asing lagi, Ghaz Abu Bakar.

Kata Adi, mengendalikan tugas pengarah bukanlah mudah dan ini adalah pengalaman berharga buat dirinya yang baru berjinak-jinak menceburi bidang itu.

“Saya akui memang susah untuk mengarah sesebuah filem. Suami Aku Ustaz adalah sebuah filem yang mengangkat kisah percintaan di mana kami mengekalkan elemen islamik dalam jalan ceritanya.

“Cerita ini tidaklah terlalu berat dan sesuai untuk ditonton masyarakat. Saya amat berharap ianya dapat diterima baik oleh orang ramai,” katanya.

Shah Iskandar ‘kaki pukul’

TERNYATA melakonkan watak antagonis sebagai Ryzal dalam drama ini bukanlah perkara mudah buat pelakon kacak, Shah Iskandar tambahan pula dia harus melakukan perbuatan yang tidak disukainya dalam dunia realiti.

Menurut Shah, adegan memukul isteri yang perlu dilakukannya dalam drama ini antara cabaran besar buat dirinya untuk menjayakan watak dibawa.

“Saya paling pantang bila ada lelaki memukul wanita, tapi dalam drama ini saya perlu lakukannya. Ini adalah satu pengalaman mencabar buat saya.

“Mahu tidak mahu, sebagai seorang pelakon, saya perlu lakukannya dengan baik untuk jayakan drama ini,” katanya.

Selain itu, Shah memberitahu, inilah kali pertama dia bekerjasama dengan dua pelakon utamanya, Adi Putra dan Sherry.

“Adi seorang pelakon yang memiliki bakat lakonan yang hebat dan dia juga tidak lokek berkongsi ilmu dan idea sepanjang penggambaran dijalankan.

“Saya senang bekerja dengan mereka dan lakonan kami berjaya meninggalkan impak yang berkesan buat penonton,” katanya.

Kahwin di usia 35

Menyentuh mengenai soal peribadi, Shah yang akui dirinya masih belum berpunya. Namun dia meletakan harapan untuk berkahwin di usia 35 tahun.

“Tahun ini umur saya sudah masuk 31 tahun dan mungkin pada umur 35 tahun saya akan berkahwin. Tapi sekarang saya masih lagi single.

“Sekarang ini saya cuba untuk mengenali banyak orang sebab empat tahun itu bukanlah masa yang lama.

“Saya sendiri tidak meletakkan ciri-ciri wanita pilihan saya, asalkan dia memahami kerjaya saya sebagai pelakon dan penampilannya sedap mata memandang itu sudah cukup buat saya,” katanya sambil tersenyum.

Dalam perkembangan lain, selain drama Teduhan Kasih, Shah bakal tampil dengan drama Fira Ayuni untuk slot Samarinda dan Seindah Senyummu bagi saluran TV9.

- SINAR HARIAN

About the Author

-

Comments

comments

Leave a comment

XHTML: You can use these html tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>