Perak Hari Ini

Percepatkan Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Barat

Kerajaan negeri mahu pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Barat yang menghubungkan Banting-Changkat Jering sejauh 316 KM dipercepatkan oleh pihak kontraktor yang dilantik Kementerian Kerja Raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata pihaknya mahu projek itu dapat disegerakan kerana ia sudah lama tertangguh.

“Kita juga berharap agar Menteri Kerja Raya yang baru dilantik akan memberi sokongan agar projek Lebuhraya Pantai Barat ini dapat dibina dengan kadar segera.

“Koordinasi projek antara JKR negeri dan pihak pengurusan sudah dilaksanakan dan laluan atau jajaran lebuhraya ini juga sudah pun diputuskan sejak tahun lalu lagi.

“Memandangkan kos projek ini telah dipersetujui, masalah berhubung kelewatan dalam melaksanakannya bukan lagi pada pihak JKR sebaliknya di pihak kontraktor dipilih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKR negeri, Datuk Dr Ir Safry Kamal Ahmad dan Timbalan Pengarah JKR, Ahmad Baidove Anuar.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainol Fadzi menegaskan, projek itu juga perlu disegerakan dan sekiranya tertangguh lagi, kos pembinaan pastinya akan meningkat.

Menurut beliau lagi, rakyat tempatan tidak akan terjejas dengan jajaran terbabit kerana pihaknya telah membuat kajian teliti berhubung perkara itu.

Anak syarikat Kumpulan Europlus Bhd (KEuro) – West Coast Expressway Sdn Bhd telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk membina lebuh raya baru sepanjang 316km yang menghubungkan Banting di Selangor dan Taiping dengan kos pembinaan bernilai RM7.07 bilion.

Mengulas pencapaian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak sepanjang tahun 2012, Zainol berkata, jabatan itu merekodkan pencapaian yang cemerlang apabila merangkul tiga anugerah di peringkat nasional, baru-baru ini.

Tiga anugerah yang dimenangi JKR Perak ialah Anugerah Kualiti Laman Web Terbaik (Katogeri Internet); Anugerah Pengurusan Pembinaan (Katogeri Projek Konvensional Infrastruktur) dan Anugerah Pengurusan Pembinaan Terbaik (Katogeri Projek Konvensional).

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak JKR kerana telah menunjukkan komitmen jitu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan rakyat negeri Perak.

“Meskipun menghadapi kekangan tenaga kerja sebanyak 23 peratus, namun ia bukan penghalang buat JKR Perak untuk mencatat 99 peratus pencapaian pada tahun lalu,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");