Jenayah

6 lokasi sebar Al-Arqam dikenal pasti

Noh Dahya:-

ALOR SETAR – Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) mengenal pasti enam lokasi penyebaran ajaran kumpulan haram al-Arqam sedang aktif di Kedah.

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya berkata, pengenalpastian tersebut dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui intipan dan perhubungan bersama masyarakat setempat.

Beliau berkata, lokasi tersebut bagaimanapun belum boleh didedahkan dan salah satu daripadanya sedang bergiat aktif di Jitra.

“Hasil siasatan, kita mendapati mereka mungkin akan mengadakan satu program bersama pengikut mereka dalam masa terdekat .

“Tujuan penganjuran program itu masih dalam siasatan. Sekiranya program itu adalah berbentuk keagamaan mengikut fahaman mereka, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpengaruh dengan ajaran tersebut.

“Kita percaya mereka akan semakin aktif terutama menjelang Ramadan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyebaran atau aktiviti ajaran tersebut dinasihatkan supaya melaporkan segera kepada pihak Jaik atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Noh Dahya berkata, kumpulan tersebut mungkin menjadikan Kedah sebagai perkampungan kedua mereka selepas penempatan mereka di Selangor dikepung pihak berkuasa.

Menurut laporan itu, pihaknya mula mengesan perkara itu selepas dimaklumkan imam masjid di Kampung Temalang, Mukim Putat, Jitra berhubung acara keagamaan yang meragukan sebelum menghantar beberapa pegawai untuk menyiasat.

Dalam pada itu, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohamad Baderudin Ahmad berkata, Majlis Fatwa Negeri Kedah telah memutuskan bahawa ajaran kumpulan al-Arqam adalah haram sejak 1994, selaras dengan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");