Membawang Hari Ini

Michelle Yeoh Juri Penulisan Skrip Filem Pendek

yeoh

Pelakon terkenal Hollywood iaitu Tan Sri Michelle Yeoh mencari skrip filem pendek terbaik menerusi ‘Pertandingan Penulisan Skrip Filem Pendek Malaysia 2013’ untuk dihantar ke festival filem peringkat antarabangsa.

Yeoh berkata, pencarian itu adalah untuk memberi inspirasi dan peluang kepada pembikin filem tempatan khususnya golongan muda dalam menghasilkan karya-karya kreatif mereka dengan menggabungkan elemen perpaduan yang diangkat sebagai tema pertandingan itu.

“Pertandingan ini bakal memperlihatkan idea-idea daripada golongan muda untuk mencurahkan kreativiti menerusi skrip dan ia akan dinilai oleh saya sendiri.

“Skrip yang berjaya akan diterbitkan menjadi sebuah filem pendek dan akan dihantar ke festival filem antarabangsa seperti Cannes, Palm Springs Short Fest, Hong Kong Filmart dan Aspen Short Fest 2014,” katanya pada sidang media yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, Jumaat.

Selain Yeoh, pertandingan anjuran ANEXT Star Productions dengan kerjasama Finas dan Jelly Bean Production itu bakal diadili oleh empat lagi juri profesional dari dalam dan luar negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut hadir bagi melancarkan pertandingan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Yeoh berkata, beliau berminat untuk terlibat dalam projek tersebut kerana ingin menyumbang kepada pembangunan industri filem Malaysia yang dilihat mempunyai potensi besar pada peringkat global.

Jelas Yeoh, sokongan daripada kerajaan khususnya dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam pembangunan seni harus dipuji dan telah menarik minatnya.

“Orang sering bertanya bila saya mahu kembali dan sumbangkan sesuatu kepada industri filem tempatan dan projek ini hanya permulaan dari saya.

“Industri tempatan sangat berkembang dan masih banyak perkara boleh diterokai dan pertandingan ini adalah salah satu daripadanya,” tutur pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini.

Tambah Yeoh, sebagai juri beliau bukan sahaja akan menilai keaslian dan tema sesebuah skrip tetapi juga melihat kepada kejujuran dan kisah di sebalik apa yang cuba ditonjolkan peserta.

Dalam pada itu, Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan berkata, pertandingan itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan perkongsian persepsi silang budaya di kalangan masyarakat Malaysia.

Malah katanya, menerusi pertandingan itu juga industri dapat melahirkan pembikin filem baharu yang akan terus membangunkan industri pada masa hadapan.

“Pemenang bukan sahaja dapat membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 tetapi juga berpeluang untuk bekerjasama menghasilkan filem tersebut dan ini akan membuka ruang lebih luas kepada mereka,” katanya.

Peserta yang berminat perlu menyediakan sebuah skrip yang tidak lebih daripada 50,000 patah perkataan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris dengan bertemakan perpaduan.

Ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Tarikh akhir menghantar penyertaan itu adalah pada 15 November ini dan pemenang akan diumumkan pada 20 Disember 2013.

Untuk keterangan lanjut boleh melayari www.myshortscript.com.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");