Perak Hari Ini, Program Basmi Kemiskinan

Prihatin Nasib Golongan OKU, YBUDR Serah Sumbangan Kepada PPOC

PERAKTODAY9

Kegembiraan jelas terpancar di wajah 32 ahli Persatuan Pusat Pemulihan Orang Cacat Perak (PPOC) selepas menerima sumbangan kotak makanan dan duit raya yang disalurkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Salah seorang daripadanya ialah Othman Mat Saki, 72, yang memiliki kemahiran membuat kraftangan bakul yang dipelajarinya menerusi kursus yang diikutinya sejak berdaftar dengan persatuan tersebut.

PERAKTODAY3

“Walaupun pada mulanya sukar untuk menyiapkan satu bakul kraftangan, namun berkat usaha, dorongan serta latihan harian yang dibekalkan, saya mampu menyiapkan kira-kira 20 bakul sebulan,” ujarnya yang mempunyai tiga orang anak.

Beliau yang cacat penglihatan tinggal bersama keluarga di Rapat Setia memberitahu sanggup berulang-alik setiap hari bagi menyiapkan tempahan serta kerja yang tertangguh demi menyara keluarga.

Sementara itu, P Bhaskaran, 45, berkata hampir 25 tahun bekerja di pusat itu  membolehkan beliau mampu membeli sebuah rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan.

Ditugaskan di bahagian mesin operator sampul surat,  beliau menjelaskan, pengalamannya di pusat tersebut membantunya meningkatkan kemahiran sekaligus mengenali ramai kawan berlainan kaum.

“Selepas tamat belajar, saya berusaha cari kerja namun tiada satu tempat yang mahu mengambil saya yang mengalami kecacatan fizikal.

“Tetapi saya tidak berputus asa dan berikhtiar pergi  pejabat buruh dan akhirnya saya ditempatkan di sini.

“Saya berasa seronok apabila dapat mengenali ramai OKU yang senasib seperti saya….kami melakukan kerja bersama-sama dan walaupun tidak menetap di hostel, segala kemudahan seperti makanan dan tempat rehat disediakan,” katanya yang berasal dari Kampar dan turut  melahirkan ucapan terima kasih atas bantuan yang disampaikan.

Berbeza pula dengan Sarif Fazalluddin Abdul Jalil, 37, yang memaklumkan kedatangannya ke pusat itu adalah atas kerelaan diri sendiri.

Beliau yang mengalami cacat fizikal berminat untuk mempelajari teknik menghasilkan kraftangan yang ditawarkan PPOC.

PERAKTODAY4

Tambahnya, kemahiran yang dimiliki adalah hasil daripada usahanya belajar sendiri dengan melihat hasil kerja tangan pekerja lain tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.

“Sebelum ini, saya bekerja di bahagian sampul surat tetapi  bertukar ke bahagian  kraftangan setelah mendapati ianya menarik dan lebih senang dilakukan.

“Saya rasa terharu dengan bantuan yang dihulurkan YBUDR dalam membantu kami yang kurang bernasib baik untuk teruskan kehidupan dan berharap agar bantuan seumpama ini akan diteruskan tanpa mengira mana-mana golongan keterbawahan,” jelasnya lagi.

Keprihatinan berterusan yang ditonjolkan pihak YBUDR dalam membantu golongan keterbawahan khususnya kelainan upaya memajukan diri ternyata mampu memberi semangat kepada mereka meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Hairul Anwar Mohamed Noor, berkata bantuan yang dihulurkan itu merupakan pemulaan bagi mengurangkan beban golongan sasar selain meningkatkan tahap keyakinan diri berhadapan dengan cabaran dunia luar.

Katanya, langkah seterusnya adalah dengan mengadakan kerjasama dengan pihak luar bagi memberi mereka peluang mempelbagaikan usaha dalam bidang berlainan sekaligus meningkatkan pendapatan ekonomi keluarga serta negara.

“Saya telah melawat gerak kerja mereka dan melihat sendiri betapa berdedikasi dan rajinnya setiap individu ini membuat kerja tanpa sebarang rungutan.

“Malah, saya begitu teruja dengan apa mereka boleh lakukan hingga terhasilnya pelbagai produk yang mampu menarik minat pembeli seperti kraftangan berbanding dengan orang yang serba boleh yang hasilnya tidak seberapa,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi PPOC, Mohd Danial Mohd Abd Kadir dan Pengurus Unit Hubungan Antarabangsa dan Sukarelawan (UHAS), Jodh Sigh Dillon.

Tambah Hairul Anwar lagi, pihaknya akan sentiasa membantu golongan ini melalui program latihan untuk mencerna pemikiran mereka ke arah lebih kreatif dan kritis supaya dapat menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau turut menyeru mana-mana pihak yang berkenaan dapat tampil memberi sumbangan supaya nasib golongan OKU sentiasa terpelihara.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");