Sukan Hari Ini

Rodgers tak sabar tunggu Suarez

Brendan Rodgers

Liverpool: Pengendali Liverpool, Brendan Rodgers mengakui kepulangan Luis Suarez terlewat satu perlawanan selepas menyaksikan rekod tanpa kalah skuadnya ditamatkan dengan kekalahan 1-0 kepada Southampton.

Dejan Lovren meledak gol tunggal perlawanan pada babak kedua di Anfield kelmarin, dan walaupun menguasai hampir keseluruhan permainan, Liverpool gagal mencari gol penyamaan.

Ketiadaan perancang Brazil, Philippe Coutinho yang mengalami kecederaan bahu, menyukarkan Liverpool untuk menembusi benteng Southampton yang begitu berdisiplin mematahkan setiap gerakan ke kubu mereka.

Bersedia lawan United

Bagaimanapun Rodgers tidak bimbang kerana dia percaya kepulangan penyerang kontroversi Uruguay, Suarez daripada penggantungan mampu mempertajam jentera serangan Liverpool pada perlawanan akan datang.

Suarez yang sebelum musim bermula mengidam perpindahan ke Arsenal tetapi dipaksa kekal di Emirates, kini menjalani penggantungan terakhir daripada 10 perlawanan selepas menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.

“Penggantungannya sudah tamat dan dia akan kembali bermula minggu depan (minggu ini),” kata Rodgers yang bakal menurunkan penyerang itu pada perlawanan pusingan ketiga Piala Liga bertemu Manchester United, Rabu ini.

Latihan tertutup

“Kadang kala dalam perlawanan seperti ini pemain seperti Luis mampu mengubah keputusan. Kami gembira dengan kepulangannya,” kata Rodgers. “Dia berada pada prestasi terbaik dan berlatih secara tertutup sepanjang tempoh penggantungan.”

Ketika Suarez dilihat mampu membantu barisan depannya, Rodgers luah kekecewaan terhadap pemain pertahanannya. “Dibolosi gol sebegitu adalah satu jenayah,” kata Rodgers yang meletakkan empat bek tengah di benteng pertahanan.
AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");