Sukan Hari Ini

Hodak nafi bimbing Harimau Kumbang

bojan hodak

BIAR pun keputusan pemain The Red Warriors sama ada menerima atau menolak tawaran kontrak daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hanya diketahui lewat hujung minggu ini, namun kali ini timbul pula desas-desus mengenai berita penghijrahan pengendali pasukan itu, Bojan Hodak.

Hodak dikatakan telah mengadakan rundingan akhir dengan pendatang baharu dalam Liga Perdana musim depan iaitu Pulau Pinang bagi membimbing pasukan terbabit, namun jurulatih kelahiran Croatia itu menyangkal dakwaan tersebut.

Hodak berkata, beliau tidak tahu macam mana khabar angin itu boleh tersebar sedangkan fokusnya kini terarah kepada persiapan pasukannya menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim, di Larkin, Sabtu ini.

“Orang boleh bercakap apa sahaja mengenai perkara (penghijrahan) ini, namun biarlah ia kekal sebagai khabar angin. Saya tak pernah berunding, menandatangani kontrak atau perjanjian persefahaman dengan mana-mana pasukan pun.

“Memang saya sekeluarga ada bercuti di Pulau Pinang baru-baru ini. Itu memang kampung isteri saya. Orang mungkin lihat saya berbual atau berbincang sesuatu dengan seseorang di sana, dan buat interpretasi sendiri mengenai diri saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dakwaan mengatakan beliau akan membawa sekurang-kurangnya empat pemain bertaraf bintang dari Kelantan ke skuad yang terkenal dengan jolokan Harimau Kumbang bagi menghadapi saingan liga bola sepak kelas kedua tempatan musim depan juga tidak berasas.

Katanya, beliau kekal selaku Ketua Jurulatih Kelantan sehingga kontraknya berakhir selepas kempen Piala Malaysia dan menjelaskan tidak mempunyai masa untuk memikirkan khabar angin itu yang disifatkannya mengarut.

“Adakah jika saya ke Kuala Lumpur semata-mata untuk membeli-belah, maka orang fikir saya ada berunding dengan Persatuan Bola Sepak Selangor? Atau jika saya bercuti di Terengganu, orang buat spekulasi saya menjadi jurulatih pasukan itu?,” katanya secara berseloroh.

Malah bagi mengukuhkan penafian beliau, jurulatih berusia 42 tahun itu turut mengesahkan menerima tawaran daripada pihak pengurusan Kafa untuk disambung kontrak pada musim depan.

“Saya sudah membalas tawaran kontrak yang dikemukakan oleh pihak Kafa hari ini (semalam). Tetapi saya tidak boleh dedahkan apa butirannya, itu menjadi rahsia di antara saya dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa. Kita tengoklah apa kesudahannya selepas berakhirnya kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Untuk rekod, Hodak merupakan jurulatih import luar negeri paling berjaya pernah membimbing Kelantan selepas era Majid Arif  pada tahun 1989, Milan Duricic (1991), Horst Heese (1992), Milous Kvacek (1994), Regis Laguesse (2008) dan Peter Butler (2009 dan 2012) dengan membawa pasukan itu merangkul kejuaraan tiga piala pada musim lalu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");