Sukan Hari Ini

Mimpi atau realiti?

mimpi atau realiti

Kuala Lumpur: Mampukah sasaran realistik negara, 40 pingat emas di Sukan SEA di Nay Pyi Taw, Myanmar yang bermula 11 Disember ini direalisasikan? Itu persoalan yang bermain di fikiran peminat sukan negara ketika detik temasya dwitahunan itu semakin hampir.

Mengimbas kembali pembabitan negara di Sukan SEA, jumlah itu menyamai pencapaian kontinjen negara di Laos, empat tahun lalu dan lebih manis, ia diserikan dengan kejayaan menjulang pingat emas bola sepak, mengakhiri penantian 20 tahun impian meraih pingat emas di temasya sukan terbabit.

Jika berjaya melepasi pencapaian terbabit, ia sekurang-kurangnya melegakan kontinjen negara yang tetap berpegang kepada Sukan Olimpik yang lebih serius berbanding minat beberapa penganjur yang mengadakan acara ‘sukan rakyat’ sebagai lubuk emas mereka.

Kecuali muay thai (yang kali pertama menyaksikan penyertaan negara ke Sukan SEA), Malaysia tetap berpegang teguh kepada sukan sebenar seperti terjun, karate dan memanah sebagai sasaran emas.

Apatah lagi acara kegemaran negara seperti bowling dan berbasikal trek tidak dipertandingkan di temasya sukan berkenaan.

Memetik kenyataan Setiausaha Agong Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berdasarkan pencapaian lalu, sasaran 40 pingat emas tidak mustahil dicapai, memandangkan kontinjen negara membawa pulang 10 peratus daripada pingat emas keseluruhan yang ditawarkan.

Menurut beliau, Malaysia hanya bertanding dalam 400 acara meskipun tuan rumah menawarkan 460 pingat emas pada temasya kali ini.

“Secara purata kontinjen negara memenangi 10 peratus daripada keseluruhan emas yang ditawarkan setiap kali bertanding di luar negara, cuma di Brunei 1999 kontinjen memperoleh keputusan luar biasa apabila memperoleh 24 peratus. Jadi, kalau dapat 50 emas di Myanmar nanti, ia satu bonus,” katanya.

Meskipun Chef de Mission, Datuk Amiruddin Embi tampil berbeza dengan meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu 51 pingat emas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM tampak lebih selesa dengan sasaran dianggap lebih ‘selamat’.

Namun jika difikir kembali, keupayaan atlet negara dalam temasya sukan, terutamanya Sukan SEA, tidak dapat dipertikaikan. Jika kena pada tempatnya, kontinjen negara berkeupayaan melepasi sasaran ditetapkan.

Lihat saja Sukan SEA Korat 2007 dan Sukan SEA Indonesia 2011. Malaysia berjaya membawa pulang 68 pingat emas berbanding sasaran 64 pingat emas di Korat, manakala di Indonesia pada 2011, kontinjen negara berjaya 58 pingat emas, melepasi sasaran 40 hingga 45 pingat emas iaitu pencapaian kedua terbaik negara di luar Kuala Lumpur.

Apa saja sasaran yang diletakkan, diharapkan ia bukan satu beban buat atlet yang bertanding tetapi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Ia juga perlu dilihat sebagai satu landasan yang tepat untuk membentuk atlet negara menjadi jagoan masa depan dengan matlamat tertinggi beraksi di pentas Olimpik.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");