Perak Hari Ini

MT UMNO: Ustaz Kazim Nekad Tidak Terima Pelantikan

PERAK TODAY 3

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias hari ini mengumumkan keputusan muktamadnya tidak menerima pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Beliau menyatakan hasrat itu selepas berbincang dengan Perdana Menteri yang juga merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sekaligus menjawab teka-teki mengenai isu tersebut yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

“Semuanya telah terungkai tentang keputusan saya untuk tidak menerima, menolak atau menarik diri daripada tawaran lantikan sebagai MT Umno selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri.

“Saya juga ingin memohon maaf kerana mendahului beliau (Najib) apabila terpaksa mengumumkan keputusan ini terlebih dahulu disebabkan desakan serta tekanan perasaan yang dialami keluarga,” jelasnya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Pendidikan Al-Barakah, dekat Manjoi, hari ini.

Kata beliau, keputusan tersebut sepatutnya diumumkan oleh Najib memandangkan lantikan tersebut adalah daripada Perdana Menteri sendiri, namun disebabkan terganggu dengan asakan dan desak daripada pelbagai pihak, beliau perlu tampil dan meredakannya dengan secepat mungkin.

Tambahnya, sikap keterbukaan Najib terserlah kerana menerima dengan baik keputusannya dan ia juga merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana pemimpin UMNO terdahulu.

“Sebelum ini, saya menerima panggilan telefon daripada Najib bagi memaklumkan tentang kedudukan dalam saf kepimpinan UMNO serta membantu dalam usaha menyebarkan ajaran Islam kepada parti serta masyarakat umumnya.

“Namun, keputusan saya yang menolak tawaran tersebut mendapat maklum balas baik daripada pemimpin negara itu dan beliau juga menerima berita itu dengan hati terbuka serta berlapang dada,” ujarnya.

Di samping itu, jelas Mohammad Kazim lagi, pendekatan yang dilakukan Najib itu membuktikan UMNO tidak pernah menolak agamawan serta Islam malah memberi ruang dan tempat di peringkat tertinggi tanpa perlu bertanding demi menyatupadukan umat.

“Ini adalah satu usaha yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin dan beliau mahu menunjukkan bahawa UMNO tidak pernah menyisihkan Islam bahkan meminta pendakwah-pendakwah membantu untuk membangunkan Islam.

“Najib juga mendoakan supaya kerja dakwah saya akan berterusan selain menyokong tugas dakwah yang saya lakukan selama ini,” tegas Mohammad Kazim.

Sebelum ini, beliau mengadakan pertemuan selama sejam dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen bagi mengetahui peranannya dalam parti itu selain menimbang tugasnya sebagai pendakwah bebas.

“Saya berpuas hati dengan jawapan yang diberikan PM berdasarkan soalan yang ditanya namun saya tidak dapat menunaikan hasratnya kerana saya bukan ahli politik.

“Saya lebih selesa bergerak sebagai pendakwah bebas selain mempunyai tanggungjawab terhadap Pusat Pendidikan Al-Barakah dan menyampaikan dakwah agama Islam kepada mereka.

“Saya ingin menjadi ‘public property’ kepada masyarakat, iaitu hak semua pihak supaya masyarakat selesa dengan penyampaian saya sebagai pendakwah bebas,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");