Perak Hari Ini

Keluarga Sedih, Terkilan Murid Diperlakukan Seperti Binatang

PERAKTODAY-2

Tindakan seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, dekat Sungkai yang menggantung loceng pada leher dua muridnya pada 23 Januari yang lalu mengundang perasaan terkilan dan sedih daripada pihak keluarga.

Kedua-dua murid tersebut, Mohd Nasvinder Mohd Amit dan Mohd Izat Iqbal Mohd Harith, masing–masing berusia 10 tahun didenda oleh guru mereka dengan memakai loceng di leher dan diarah memakan rumput, diperlakukan seolah-olah seperti lembu.

Menurut bapa saudara salah seorang murid terbabit, Muktasim Hasim, 28, satu laporan polis berhubung perkara tersebut telah dibuat di Balai Polis Sungkai, semalam.

Katanya, guru terbabit bertindak sedemikian sebagai hukuman kerana kegagalan empat murid menyiapkan kerja sekolah yang diberikannya.

“Seramai empat pelajar didenda tetapi hanya Mohd Nashvinder dan Mohd Izat Iqbal yang didenda sedemikian. Sebelum itu juga mereka sudah dirotan sebanyak dua kali,” katanya.

Jelasnya, tindakan tersebut cukup tidak berperikemanusiaan dan tindakan guru terbabit menunjukkan contoh yang tidak baik, sekaligus mengundang persepsi negatif di kalangan rakyat berbilang kaum.

“Saya cukup terkilan dan kami hantar anak-anak ke sekolah untuk menuntut ilmu bukan diperlakukan seperti binatang,” katanya.

Difahamkan juga, guru terbabit turut mengeluarkan kenyataan “lembu tak buat kerja rumah mesti kena makan rumput” menyebabkan dua murid tersebut menjadi fobia dan tertekan selepas menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas yang menggelarkan mereka sebagai ‘lembu’.

“Saya tegaskan di sini, mereka tidak makan rumput itu kerana mereka manusia bukannya lembu,” tegas Muktasim.

Kejadian itu berlaku di dalam bilik darjah semasa pembelajaran subjek Bahasa Inggeris sekitar jam 9 pagi manakala sekitar jam 10 pagi, iaitu pada waktu rehat, guru terbabit kembali semula ke kelas berkenaan.

Beliau kemudiannya bertindak mengambil rumput di luar kelas lantas menyuruh murid tersebut memakannya yang ketika itu masih memakai loceng di leher masing-masing.

Kedua-dua murid tersebut juga tidak dibenarkan membuka loceng di leher masing-masing sehingga habis sesi persekolahan sekitar jam 1.30 petang sebagai hukuman kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberi.

“Saya berharap guru terbabit dipindahkan segera kerana jika tidak berbuat sedemikian, pastinya peristiwa sebegini akan berulang kembali kepada murid lain pula,” katanya.

Jelasnya lagi, biarpun permohonan maaf telah diterima daripada pihak guru terbabit, namun hukuman denda itu pasti membelenggu fikiran dua murid tersebut.

Manakala menurut ibu Mohd Izat Iqbal, Yarnis Zainal Ariffin, anaknya kini berada dalam keadaan trauma dan fobia untuk ke sekolah kembali.

“Saya sangat sedih dan kecewa apabila anak saya diperlakukan sebegitu dan saya sendiri mendapat tahu kejadian tersebut daripada kenalan Mohd Izat Iqbal sebelum bertanya sendiri kepadanya,” jelasnya.

Manakala bagi ibu Nasvinder pula, tindakannya menghantar anaknya ke sekolah aliran Cina adalah untuk memberi peluang buatnya mempelajari bahasa lain.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amin Osman, turut menegaskan supaya tindakan tegas perlu diambil pihak berwajib supaya tidak timbul sebarang isu perkauman kelak.

“Bukan isu perkauman yang ingin dimainkan, tetapi ingin kita tekankan ialah mengenai kesilapan guru tersebut yang bertindak amat keterlaluan. Ia bukan sahaja mengganggu emosi murid tersebut tetapi juga ibu bapa dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Jelasnya, guru tersebut perlu ditukarkan ke sekolah lain untuk menjernihkan keadaan, sekaligus mengelak pergeseran yang lebih meruncing di masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, cubaan wakil media untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan sekolah berhubung kejadian itu gagal.

Guru besar sekolah itu enggan keluar bertemu media dan sebelum itu berlaku pertikaman lidah antara wakil media dan pengawal keselamatan sekolah tersebut.

sekolah

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");