Perak Hari Ini

Institusi Agama Diperalat Kutip Derma Tanpa Kebenaran Sah

PERAKTODAY3

Menggunakan nama institusi agama, kegiatan mengutip derma membabitkan kanak-kanak di bawah umur kini kembali berleluasa di sekitar bandar raya Ipoh dengan mensasarkan kawasan tumpuan ramai dan premis perbankan bagi menagih simpati orang ramai.

Dengan pakaian lengkap bersongkok bagi kanak-kanak lelaki manakala yang wanita pula ayu berbaju kurung, mereka diberi tugas untuk mengutip derma bagi sebuah pusat tahfiz di Kedah seawal jam 3 petang hingga lewat malam.

Bukan datang dengan tangan kosong, kanak-kanak ini turut membawa beg sandang yang dipenuhi dengan barang jualan seperti minyak angin untuk menarik perhatian orang ramai menderma.

Tidak ketinggalan, mereka juga dibekalkan dengan resit dan maklumat sumbangan yang akan disalurkan untuk menampung operasi dan membaikpulih pusat tahfiz terbabit.

Peraktoday.com.my baru-baru ini berjaya mendapatkan respon daripada salah seorang remaja yang terlibat dalam kegiatan itu di sekitar Ipoh.

Antara lokasi yang menjadi sasaran kumpulan remaja dan kanak-kanak ini termasuklah di kawasan sekitar Maybank Ampang, Medan Gopeng dan Dataran Ipoh.

Dek kesempitan hidup, Nazirah (bukan nama sebenar) mengakui secara sukarela membantu ustazah dan ustaznya untuk mengutip derma bagi kegunaan pusat tahfiz berkenaan.

PERAKTODAY1

Katanya, hasil kutipan akan diserahkan kepada ustazah dan ustaz yang menguruskan mereka sebelum disalurkan kepada maahad tahfiz yang beroperasi di Kedah itu.

Jelasnya, kehidupan yang sukar, adik beradik yang ramai dan keluarga yang berpecah-belah dek perceraian ibu bapa antara penyebab dirinya terjebak dalam kegiatan itu sejak dari usia 12 tahun lagi.

Peraktoday.com.my juga turut mendapatkan ulasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Mohd Nizar Zakaria mengenai kegiatan tersebut yang seolah-olah tidak berpenghujung.

Tegas beliau, setiap aktiviti mengutip derma yang melibatkan institusi pendidikan atau keagamaan memerlukan kelulusan dan kebenaran pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

PERAKTODAY

“Tindakan menggunakan kanak-kanak di bwah umurternyata salah sama sekali dan ianya seolah-olah mengeksplotasikan mereka,” tegasnya.

Jelasnya lagi, seseorang yang di bawah umur 18 tahun dilindungi Akta Kanak-Kanak 2001 yang melindungi mereka supaya tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Imej yang membabitkan pembinaan maahad tahfiz, sekolah agama rakyat atau surau telah dijadikan sebagai jalan pintas untuk mengaut derma daripada orang ramai,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kegiatan itu cenderung dilakukan oleh sindiket dari luar Perak.

“Kita boleh bekerjasama dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memantau dan mengambil tindakan tegas jika terbukti kukuh bahawa kegiatan itu melanggar peraturan,” katanya.

Masyarakat juga katanya, perlu sentiasa rasional sebelum memberi sumbangan yang melibatkan penggunaan nama pembinaan institusi pendidikan atau keagamaan supaya golongan kanak-kanak tidak dijadikan alat kepada sindiket tertentu untuk mengaut keuntungan mudah.

“Saya akan merujuk perkara ini ke peringkat lebih tinggi dan dari segi pengawalan pula, kita boleh bekerjasama melalui Maipk dan JKM bagi memantau kegiatan ini,” katanya.

PERAKTODAY2

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");