Perak Hari Ini

Perak Sasar 5 Kelompok Terbaik di SUKMA Perlis

PERAK TODAY 3

Perak mensasarkan untuk menduduki kelompok lima kontinjen terbaik dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-XVII 2014 yang dijadual berlangsung di Perlis, bulan hadapan

Menteri Besarnya, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri telah meletakkan matlamat dan sasaran itu kepada semua atlet yang akan menyertai temasya sukan tersebut.

“Kita mensasarkan pungutan minimum 30 pingat emas dan berada dalam kelompok lima kontinjen terbaik SUKMA XVII yang akan berlangsung di Perlis,” katanya.

Tambah beliau lagi, sasaran untuk mencapai kedudukan tersebut akan dicapai menerusi penglibatan atlet dalam semua acara yang dipertandingkan.

“Kontinjen Perak akan menyertai kesemua acara yang dipertandingkan dalam temasya sukan tersebut dengan disertai kira-kira 388 atlet, 84 pegawai dan juga 70 orang urusetia,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada atlet sebagai persediaan untuk menghadapi acara sukan tersebut.

“Kita telah menyediakan pelbagai insentif kepada atlet seperti gelanggang latihan, tempat penginapan, rawatan kecederaan, makanan, vitamin serta elaun yang dibayar setiap bulan mulai Oktober lalu,” tambahnya.

Ujarnya lagi, elaun yang diberikan juga telah dinaikkan daripada jumlah asal yang diterima oleh atlet sebelum ini.

“Insentif elaun telah dinaikkan daripada RM150 sebulan kepada RM300 sebulan bagi semua atlet yang telah disahkan akan membawa cabaran negeri Perak di Perlis nanti,” katanya lagi.

Zambry turut berkata, kerajaan negeri akan menyediakan insentif kemenangan bagi atlet yang memenangi pingat dalam temasya itu nanti.

“Atlet Perak yang membawa pulang pingat akan dapat imbuhan daripada kerajaan negeri dan untuk acara perseorangan, RM3,000 disediakan bagi pingat emas, RM2,000 untu pingat perak dan RM1,000 bagi pingat gangsa,” katanya.

Beliau berkata lagi, insentif turut diberikan kepada atlet yang menyertai acara secara berpasukan yang masing-masing akan memperolehi RM1,500 (emas), RM1,000 (perak) dan RM750 (gangsa).

Terdahulu, beliau menerima kunjungan rasmi daripada Menteri Besar Perlis, Azlan Man untuk menyampaikan jemputan kepada Perak bagi menyertai temasya sukan tersebut yang dijadualkan bakal berlangsung pada Mei hingga Jun depan.

Azlan berkata, segala persiapan telah dijalankan dengan rapi bagi menerima kunjungan kontinjen dari seluruh negeri termasuk Perak.

Katanya lagi, kesemua acara yang dipertandingkan akan diadakan di sekitar kawasan Kangar dan juga di beberapa kawasan lain yang jaraknya hanya memakan masa antara 15 hingga 20 minit.

“Kita telah membuat persediaan dan akan menggunakan kemudahan yang tersedia seperti padang di Universiti Malaysia Perlis (UMP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis untuk acara yang akan dipertandingkan nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");