Berita Hari Ini

Lebih 700 petani hilang punca

petani

TANJONG KARANG – Lebih 700 petani dan penternak di kawasan projek pertanian di Kampung Seri Makmur, Jalan Raja Musa buntu memikirkan masa depan masing-masing apabila diminta keluar dari tanah yang diusahakan lebih 30 tahun.

Penduduk kampung yang sebelum ini mengusahakan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan keli dan kelapa sawit di kawasan tanah kerajaan berhampiran bekas lombong yang dianggarkan seluas 1,200 hektar itu diminta keluar gara-gara memberi laluan projek takungan air yang didakwa akan dilaksanakan Jun nanti.

Notis pengosongan berakhir 20 April itu mengundang perasaan sedih memandangkan tapak pertanian berhampiran Taman Agroteknologi Pertanian Bestari Jaya itu menjadi satu-satunya punca pendapatan penduduk.

Pengusaha sayur, Norhasimah Othman, 41, runsing memikirkan masa depan anaknya apabila punca pendapatan suami yang hanya bergantung kepada hasil tanaman sayur mungkin punah.

“Sedih sangat bila diberitahu kami kena keluar dari tapak projek sebab nak bagi jalan projek takungan air. Kami buntu sebab ini satu-satunya punca rezeki selama 15 tahun.

“Mana nak cari kerja lain sebab usia pun dah lanjut. Nak tanggung anak yang masih kecil dan masih sekolah,” katanya yang mempunyai 11 anak.

Pengusaha tanaman limau, Sia Luew Hing, 41, berkata, dia juga terkejut apabila menerima notis pengosongan tapak tanaman projek yang dikongsi bersama lima rakannya.

“Modal pun habis dekat RM150,000 dan belum dapat untung lagi, tapi kena keluar dari tapak. Macam mana kami mahu hidup? Nak bayar hutang yang masih banyak.

“Ingatkan bila dapat usahakan tanaman limau, hidup kami boleh untung sikit tapi lain jadinya. Kalau boleh janganlah halau kami dan sanggup nak sewa tanah di sini sebab subur, sesuai untuk projek pertanian,” katanya.

Bagi R Logarajan, 52, yang sudah mengusahakan tanaman sayur sejak lebih 20 tahun turut kesal dan kecewa apabila dimaklumkan tanah itu mahu dimajukan untuk projek takungan air.

“Mana kami mahu pergi lagi? Dulu kawasan ini hutan dan saya bersama penduduk sanggup nak bersihkan sampai ada jalan untuk tanam sayur. Bila sudah tak semak, tanah ini mahu dimajukan pula.

“Saya pun tiada kerja lain, cuma bergantung pada hasil sayur saja. Macam mana kami sekeluarga mahu hidup lepas ini? Buntu dan tak lena tidur bila disuruh keluar sebelum 20 April nanti,” katanya sebak.

Bimbang nasib petani

Pemangku Pengerusi Persatuan Pengusaha Projek Pertanian Kampung Raja Musa, Shawaludin Kamdi, 28, berkata, petani dan penternak tidak menolak sebarang projek pembangunan yang ingin dimajukan di kawasan itu.

Menurutnya, berharap pengusaha yang ada diberi peluang untuk meneruskan tanaman masing-masing berikutan kawasan lombong yang ingin dibangunkan agak jauh dari tapak projek.

“Lagipun projek Hybrid Off River Augmentation System (Horas) 600 Negeri Selangor di Sungai Darah cukup jauh dari Kampung Raja Musa ini dan mungkin boleh beri kelonggaran kepada kami.

“Sebab hasil pertanian di kawasan ini membantu pasaran tempatan dan menjadi sumber pendapatan penduduk. Sayang sekali kalau tanah yang subur ini dimajukan untuk takungan air,” katanya.

Setiausahanya, Zabmir Baharudin, 60, berkata, pihaknya akan membawa isu ini ke pihak berkaitan supaya masalah tapak ini dapat dibincangkan supaya satu keputusan sama adil dapat diraih.

“Jawatankuasa persatuan akan bawa masalah ini untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan supaya masalah yang menghimpit penduduk dapat diselesaikan sebelum 20 April,” katanya.

Projek TKPM perlu dibela

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai masalah itu memandangkan tapak projek bagi Program Taman Kekal Pengeluaran Makananan (TKPM) turut terlibat.

Menurutnya, beliau difahamkan projek yang mendapat kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang ditempatkan di Taman Agroteknologi Bestari Jaya itu turut terlibat dan perlu dipindahkan.

“Saya pun kesal bila strategi yang dirangka dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi oleh usahawan di kawasan itu mungkin tak bertahan lama.

“Patutnya kerajaan negeri beri kelonggaran untuk petani di kawasan itu memandangkan kawasan itu sebelum ini menjadi zon kekal bagi pengeluaran tanaman makanan dalam negara,” katanya.

Noh berkata, program ini adalah jalinan kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga usahawan di mana kerajaan negeri menyediakan tanah kepada usahawan dan digazetkan sebagai projek TKPM.

“Bertimbang rasalah sikit sebab usahawan itu semuanya anak Selangor,” katanya ketika diminta Sinar Harian untuk mengulas masalah yang terpaksa ditanggung usahawan tempatan di bawah kawasannya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");