Perak Hari Ini

Catuan Air Di Zon 1 Berakhir Khamis Ini: LAP

zenol

Kira-kira 13,678 pemegang akaun dari Zon 1, Taiping akan menerima bekalan air seperti biasa bermula Khamis ini apabila paras air di Loji Taiping Headworks meningkat daripada 26 JLH kepada 30 JLH berikutan hujan lebat yang turun sejak awal bulan April.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata sebelum ini, Lembaga Air Perak (LAP) terpaksa melakukan catuan air di Taiping dan kawasan sekitarnya berikutan penurunan kadar tadahan di Loji Taiping Headworks dan Loji Air Kuning, disebabkan cuaca kemarau.

“Selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), catuan air telah dilaksanakan bermula dari 3 April dan dijadual berakhir esok,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau bagaimanapun, berkata bagi pemegang akaun Zon 2, catuan terpaksa diteruskan kerana paras empangan Air Kuning masih rendah dengan kapasiti minimum 50 peratus sahaja.

Oleh itu, catuan air katanya, akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu bermula dari 17 April hingga 30 April depan.

“Namun begitu, beberapa kawasan dalam Zon 2 seperti Zon 2B membabitkan Taman Semarak, Taman Asam Maju dan Taman Raja Idris Shah serta Zon 2C yang membabitkan Taman Kota Indah dengan masing-masing 1,817 dan 200 pemegang akaun akan dikeluarkan dari zon catuan air.

“Tempoh catuan juga dikurangkan dari dua hari ke satu setengah hari dan secara kesuluruhannya jumlah akaun yang terlibat dengan catuan kali ini adalah sebanyak 9,481 akaun sahaja berbanding dengan 23,719 akaun sebelum ini,” katanya lagi.

Zainol Fadzi turut memberi jaminan bahawa LAP akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan bekalan air ke kawasan terlibat tidak terjejas sepanjang tempoh tersebut.

Beliau juga menasihati pengguna air di Perak supaya berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran.

“Pengguna air di negeri Perak khususnya di Taiping mesti menggunakan air secara berhemah dan berjimat-cermat serta mengelakkan pembaziran untuk memaksimumkan tempoh penggunaan air simpanan di empangan yang sedia ada,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");