Membawang Hari Ini

Berjauhan demi karier

ayu oim

BIASANYA seseorang artis yang ingin memperoleh pendapatan sampingan akan membuka perniagaan makanan sebagai pilihan utama. Ia dilihat sebagai antara jenis cabang perniagaan yang mudah untuk di- mulakan.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan penyanyi Ayu Damit yang memilih untuk menjalankan perusahaan ladang kelapa yang terletak di Kuala Kangsar, Perak bersama suaminya.

Bertemu dengan pemilik nama sebenar Norayu Damit dalam sebuah majlis minum petang di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia memberitahu, perusa- haan ladang berkenaan sudah dimulakan sejak tahun lalu lagi.

“Idea ini timbul sewaktu saya menyambut bulan puasa tahun lalu di kampung suami iaitu di Kuala Kangsar. Ketika itu saya dapati bekalan kelapa selalu berkurangan di kedai.

“Secara kebetulan pula terdapat tanah kosong yang dimiliki oleh keluarga suami dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk membuka sebuah ladang kelapa serta menanam nanas sebagai tanaman sampingan,” ujar penyanyi berusia 25 tahun itu.

Menjelaskan lebih lanjut tentang pembabitannya dalam bidang pertanian, Ayu mengakui, dia dan suami tidak memiliki sebarang pengetahuan dan pengalaman tetapi dia banyak dibantu oleh pihak pembekal yang membekalkan benih kelapa dan nanas kepada mereka.

Selain itu, mereka juga menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai langkah untuk mendapat hasil tanaman yang lebih baik dan berkualiti.

“Kami telah membelanjakan sekitar RM100,000 untuk memulakan perniagaan ini, termasuk membeli beberapa bidang tanah lain yang berhampiran dengan tanah milik keluarga suami.

“Kalau diikutkan, pokok kelapa mengambil masa beberapa tahun untuk berbuah tetapi pokok nanas yang kami tanam sudah mula berbuah.

“Mungkin pada bulan Julai atau Ogos nanti kami sudah boleh mula mengutip hasilnya,” jelas isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin itu.

Memandangkan dia dan suami kini sudah memulakan perniagaan sendiri dalam bidang pertanian, Ayu turut ditanya tentang perjalanan kariernya sebagai seorang penyanyi.

Menurut Ayu, ketika ini perniagaan yang diusahakan itu diuruskan sepenuh- nya oleh suami manakala dia pula masih lagi turus bergiat aktif dalam bidang nyanyian.

“Tidak dinafikan sekarang ini saya sudah mula berjauhan dengan suami dan anak-anak. Suami berada di Kuala Kangsar menguruskan ladang kami dan saya pula berada di Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian yang diterima.
SEIRING karier seninya yang kembali rancak, Ayu optimis bisnes kelapa sawitnya akan memberi pulangan yang baik pada masa akan datang.

“Walaupun terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga, saya tidak kisah kerana masih boleh menghubungi mereka melalui telefon. Lagipun keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur semata-mata demi meneruskan karier saya,” ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Mengenai majlis minum petang yang berlangsung pula, Ayu meluahkan penghargaannya kepada pihak Hotel Royal berkenaan yang memberikan kesempatan kepadanya membuat persembahan untuk menghiburkan para peminatnya.

“Saya tidak sangka pula dengan undangan yang diterima ini tetapi saya diberitahu bahawa pihak hotel mengundang saya setelah melihat persembahan yang pernah saya buat di hotel ini pada bulan puasa yang lalu,” ujarnya.

Saingan sihat

Berkenaan dengan karier nyanyian pula, Ayu menyatakan, peminat kini sudah mula nampak kehadirannya dalam industri hiburan sejak tahun lalu setelah kemunculan singlenya berjudul Hati Ini.

Namun begitu, dia menolak tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia sengaja menghilangkan diri buat seketika dan menegaskan bahawa dia masih terus aktif menyanyi seperti biasa.

“Tanggapan sebegitu wujud kerana cerita saya tidak kerap dipaparkan di media, jadi ramai yang menyangka saya tidak aktif menyanyi. Sedangkan tawaran untuk membuat persembahan menyanyi masih banyak lagi saya diterima.

“Kemudian dengan kemunculan single saya pada tahun lalu iaitu Hati Ini, barulah peminat tahu yang saya masih lagi menyanyi, termasuk dengan bantuan pihak media yang memberikan publisiti kepada saya,” jelasnya.

Ujarnya, dalam masa terdekat ini dia bakal merakamkan dua buah single yang masih belum lagi diberi judul. Kedua-dua lagu berkenaan mendapat sentuhan daripada Ran Pahat dan Mohariz.

Mengenai persaingan yang wujud memandangkan semakin ramai penyanyi baharu yang muncul sekarang ini, Ayu melihat ia sebagai suatu perkembangan positif dan suatu persaingan yang sihat.
BAHAGIA… Ayu bersama suaminya, Syed Fauzi dan anak mereka, Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 4.

Enggan hamil

Sudah memiliki dua cahaya mata iaitu Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 4, Ayu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia enggan hamil lagi dalam masa terdekat ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, keputusan itu dibuat agar dia mampu memberi lebih banyak tumpuan kepada kerjaya nyanyian serta membesarkan kedua-dua anaknya.

“Sebenarnya sejak dikurniakan anak pertama lagi saya sudah membuat kepu- tusan sebegini. Namun begitu, tidak sangka pula rezeki berpihak kepada saya dan suami apabila dikurniakan anak yang kedua.

“Jadi, kali ini saya memang mahu berehat seketika untuk hamil lagi tetapi kalau ditakdirkan mendapat cahaya mata yang ketiga kami tidak akan tolak dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh,” ujarnya.

Biarpun mengambil keputusan tidak mahu menambah bilangan anak, Ayu memberitahu, baru-baru ini mereka baru sahaja mengambil seorang anak angkat dan diberi nama Nurqalisha Umaira yang kini berusia lima bulan.

“Kami mengambil Qalisha sejak dia mula dilahirkan lagi dan niat kami mengambilnya sebagai anak angkat untuk membantu seorang saudara sebelah suami saya yang berada dalam kesulitan,” jelasnya mengakhiri bicara.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");