Jenayah

Sembunyi dalam tangki air

sembunyi dlm tangki

BANDARAYA MELAKA – Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk seorang lelaki yang bersembunyi di dalam tangki air sebuah premis judi ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu 6P di lima lokasi berbeza di sini, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, kesemua ditahan itu antara 40 individu diperiksa sepanjang serbuan selama enam jam berakhir 5 pagi oleh anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen.

“Kesemua yang ditahan berumur antara 24 hingga 50 tahun yang terdiri daripada sembilan rakyat Indonesia termasuk dua wanita, Bangladesh (8), Myanmar (4) dan seorang warga Vietnam.

“Siasatan awal mendapati empat daripada yang ditahan merupakan pekerja di pusat perjudian komputer tersebut manakala selebihnya bekerja dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Abu Bakar, lima lokasi yang diserbu itu membabitkan dua buah pusat perjudian komputer di Taman Semabok Perdana dan Cheng serta sebuah rumah di Ujong Pasir, Taman Laksamana Cheng Ho dan Alai.

“Serbuan dilakukan atas maklumat orang ramai terhadap kehadiran Pati di kawasan mereka selain intipan selama dua minggu pihak berkuasa termasuk siasatan terhadap pemilik premis yang didapati melindungi Pati di premis mereka tanpa dokumen yang sah,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap pekerja asing tersebut mendapati 23 daripadanya memasuki negara ini tanpa permit yang sah dan mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1) C Akta Imigresen 1959/63.

“Sementara seorang lagi lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1) (c) akta sama kerana telah berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama tujuh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lima anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selain 25 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen negeri.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");