Jenayah

Op Cantas Khas: Rampas senjata api

rampas senjata

ALOR SETAR – Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing yang dipercayai atas kesalahan memiliki senjata termasuk pistol jenis Luger dan Revolver membabitkan empat tangkapan di tiga lokasi berasingan sejak Mac lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata penahanan yang dibuat sempena Op Cantas Khas itu, membabitkan lelaki warga tempatan dan warga Myanmar yang berusia 30 hingga 40 tahun di daerah Alor Setar, Sik dan Kuala Muda.

Beliau berkata, dalam kes pertama pada 21 Mac lalu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai terbabit dengan beberapa kes jenayah.
Menurutnya, hasil soal siasat lelaki itu, polis menahan dua rakan suspek warga tempatan.

“Lelaki Myanmar terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah. Hasil siasatan lanjut kita berjaya merampas sepucuk pistol jenis Luger, sebilah parang, topeng muka dan sebuah motosikal.

“Kita percaya suspek ini terlibat dengan beberapa kes jenayah yang kita sedang siasat,” katanya pada sidang media, semalam.

Dalam kes kedua, Ahmad berkata, pihak polis menahan seorang lelaki berusia awal 30-an pada 2 April lalu bersama selaras senapang kayu buatan sendiri kira-kira jam 3.00 pagi, di Jeniang, Sik.

Katanya, susulan penangkapan itu pihak polis turut merampas satu bentuk keluli (detonator) dan barang-barang yang boleh dijadikan bahan letupan.

Dalam pada itu Ahmad berkata, pada 9 April lalu, kira-kira jam 12.45 pagi sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda melakukan serbuan di pusat hiburan dan menahan tiga lelaki.

Menurut beliau, suspek terbabit masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik.

“Mereka ditangkap di bawah kes pemerasan, tetapi hasil pemeriksaan lanjut kita juga berjaya merampas sepucuk pistol jenis revolver bersama tiga butir peluru hidup,” katanya.

Sementara itu, pada 13 April lalu sepasukan polis dari jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuala Muda mlakukan serbuan terhadap sebuah premis di Puteri Jaya, kira-kira jam 1.10 pagi.

Ahmad berkata, hasil serbuan tersebut pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol tiruan jenama Baretta.

“Kita juga merampas sebuah kereta jenis Nissan Sentral, bebarapa barangan yang menggunakan logo dan tulisan polis seperti pelekat kenderaan dan vest polis.

“Kejayaan ini merupakan hasil daripada Op cantas yang dilakukan dan kita juga telah menggandakan kekuatan anggota setiap unit di kawasan-kawasan banyak berlakunya jenayah,” katanya.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");