Perak Hari Ini

Insiden Pergaduhan Penyokong Cemari Perlawanan Perak-JDT

PERAKTODAY6

Perlawanan bola sepak Liga Super 2014 pusingan kedua antara Perak dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak, malam tadi yang berakhir dengan insiden pergaduhan cukup mengecewakan penyokong tempatan apatah lagi pasukan Seladang terus kekal di kedudukan tercorot saingan selepas tewas dengan jaringan 0-1.

Dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan kawalan anggota pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), penyokong tempatan mula bertindak di luar kawalan hingga menyebabkan dua petugas media yang membuat liputan mengalami kecederaan akibat dibaling objek keras.

Peminat tegar pasukan Seladang, Mohamad Hakim, berkata pergaduhan itu berlaku antara anggota FRU dan penyokong tempatan.

“Pergaduhan yang tercetus malam tadi hanya membabitkan pasukan FRU dan penyokong Perak.

“Penyokong JDT kami tak sentuh pun sebab mereka sudah masuk ke tengah padang. Kami hanya kecoh dengan FRU bukan penyokong JDT,” tambahnya lagi.

Peminat tempatan, Muhammad Yusra yang turut berada di lokasi kejadian memberitahu tiga punca yang membawa kepada insiden pergaduhan tersebut.

“Ada tiga faktor yang jadi punca kepada pergaduhan itu antaranya pengurusan telah menipu peminat Perak, sikap cabar mencabar ekoran tragedi di Stadium Larkin serta perasaan tidak puas hati terhadap tindakan FRU dalam perlawanan antara Perak menentang Selangor sebelum ini,” ujarnya lagi.

Meskipun Perak mengalami kekalahan ke atas JDT, penyokong Perak berpuas hati dengan aksi pasukan.

Ini diakui oleh salah seorang peminat bola sepak, Hashim, 25, yang mengikuti perlawanan tersebut.

“Setakat ini, permainan yang ditunjukkan semalam adalah yang terbaik dan kalau boleh, untuk setiap perlawanan Perak kena main macam ni, baru seronok nak tengok,” ujarnya.

Pendapat itu disokong oleh seorang lagi peminat bola sepak, Ahmad Faizal yang mengikuti siaran langsung perlawanan tersebut menerusi televisyen.

Katanya, pasukan Perak telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan berlangsung.

“Semangat dan moral pasukan Perak yang ditunjukkan semalam amat tinggi, bukan sahaja corak permainan agak pantas malah hantaran pemain juga bagus,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");