Sukan Hari Ini

Sufian wira Lions XII

bola 6

PENYERANG Lions XII, Sufian Anuar mencipta hatrik pertama Liga Super musim ini ketika menewaskan Pahang 4-1 di Stadium Jalan Besar malam tadi.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat kepada pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan apabila merakamkan kekalahan pertama sejak mengambil alih tugas Ronald Smith, Mac lalu.

Pada aksi tersebut, pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Damion Stewart hasil sepakan percuma yang diambil Azidan Sarudin.

Begitupun, kelebihan skuad Tok Gajah hanya bertahan selama 11 minit apabila Safuwan Baharudin kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

Pada babak kedua, Lions XII yang tewas 0-1 kepada Sime Darby di venue sama minggu lalu mengasak benteng pertahanan skuad bimbingan Zainal itu.

Ketika permainan berbaki 10 minit, Sufian berjaya meletakkan wakil Singapura itu di hadapan buat pertama kalinya apabila meledakkan gol kedua Lions XII.

Tersentak dengan jaringan itu, Pahang kembali mengatur gerakan untuk menyerang kubu pertahanan Lions XII.

Namun, Sufian memastikan juara bertahan Liga Super itu bangkit apabila menjaringkan dua gol pada masa kecederaan.

Selepas aksi menentang Pahang, wakil Singapura itu bakal bertemu musuh tradisi, Selangor di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Sementara itu, di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 3-2.

Juan Manuel Arostegui membuka tirai jaringan pada minit ke-31 tetapi kelebihan skuad The Gladiators berjaya dipadamkan Sarawak menerusi Junior Eldstal minit ke-41.

Skuad Bujang Senang menghukum kerapuhan benteng pertahanan skuad kendalian B. Sathianathan itu apabila meledakkan tiga gol hasil jaringan S. Chanturu pada minit ke-59, gol sendiri Nor Fazly Alias (ke-73) dan Christie Jayaseelan (ke-74).

Di Stadium Shah Alam, Terengganu gagal memanfaatkan kelebihan dua gol apabila diikat Selangor PKNS 2-2, sekali gus tidak berpeluang untuk mengekori rapat pendahulu Liga Super, Pahang.

Dalam aksi itu, anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim cemerlang apabila mendahului dua gol hasil jaringan Azlan Zainal dan Mario Karlovic masing-masing pada minit ke-21 dan ke-42.

Namun, PKNS berjaya mengutip satu mata apabila Patrick Ronaldinho menjaringkan gol pertama buat pasu- kan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan pada minit ke-62.

P. Gunalan melengkapkan kebangkitan skuad The Red Ants dengan menjaringkan gol kedua PKNS pada minit ke-77.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");