Isu Panas

Ahli PKR Pasukan Saya – Azmin

Mohamed Azmin Ali

PETALING JAYA: Penyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali secara terbuka menolak idea berkempen berkumpulan yang disifatkannya akan memecahbelahkan perpaduan parti.

Malah Ahli Parlimen Gombak itu turut membidas tawaran untuk mewujudkan kuasa ketiga dalam PKR demi kepentingan politik peribadi dan pihak tertentu.

“Kita perlu mengelakkan budaya berpuak-puak, pakatan atau gabungan yang akan menyebabkan parti yang kita sayangi ini hancur berantakan.

“Kenapa kita perlu mencipta third force? What we need is just one force. Only one. That is the force of PKR,” katanya ketika melancarkan Gagasan Keadilan Raya sempena kempen pemilihan PKR 2014 di sini, Rabu malam.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin juga menegaskan, beliau tidak perlu membentuk kumpulan atau mewujudkan kem tertentu bagi meraih undi kerana yakin ahli PKR akan memberi kepercayaan kepadanya untuk berada di kedudukan berkenaan bagi penggal kedua.

“Bagi saya seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Difahamkan pendirian Mohamed Azmin itu merujuk kepada pembentukan pasukan lawannya yang diketuai Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang turut bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Turut menganggotai kem Saifuddin ialah dua calon Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Mohd Rafizi Ramli.

Selain itu Mohamed Azmin turut menggunakan pentas berkenaan sebagai medan untuk menjawab pelbagai tuduhan termasuk serangan politik terhadapnya ketika kehangatan kempen menjelang pemilihan hujung bulan ini.

Menerusi ucapannya, Azmin sekali lagi ‘menyerang balas’ Saifuddin apabila berkali-kali menegaskan bahawa ahli PKR memerlukan seorang pemimpin yang setia kepada perjuangan parti.

“PKR dibentuk untuk menolak politik lama yang jelek. Kita membawa politik baru yang berteras nilai-nilai murni sejagat. Justeru itu, perlu ada kesetiaan kepada parti sebagai wadah perjuangan.

“Maka saudara- saudari sebagai pejuang PKR yang tegar perlu bertekad untuk menjayakan demokrasi. Pilihlah kepimpinan yang tegas, teruji, wibawa dan setia,” katanya.

Penegasan Mohamed Azmin itu mendapat tepukan gemuruh penyokong-penyokongnya yang memenuhi Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sebelum ini Saifuddin secara sinis menolak kempen retorik khususnya yang berkaitan sentimen kesetiaan terhadap parti bagi meraih simpati dan sokongan pengundi.

Difahamkan sentimen mengenai kesetiaan terhadap parti khususnya membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mula dimainkan penyokong kem Mohamed Azmin.

Malah sekeping gambar lama yang memaparkan Mohamed Azmin sedang memapah Anwar turut mula dikongsi secara meluas di Internet bagi menggambarkan hubungan baik kedua-dua pemimpin berkenaan.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");