Sukan Hari Ini

Bisa orang lama

podolski

London: Arsene Wenger mengambil risiko dengan membariskan pemain berpengalaman ketika menentang West Ham, awal pagi semalam dan percaturan itu membuahkan hasil apabila Arsenal menang 3-1 untuk merampas kembali tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Pengendali dari Perancis itu menurunkan purata umur pemain 29 tahun di Emirates dengan Olivier Giroud satu-satunya pemain bukan penjaga gol berusia 27 tahun dalam usaha meraih keputusan baik.
Wenger yang terkenal sebagai pakar membentuk pemain muda, memilih menggunakan khidmat pemain lebih berpengalaman bagi mengatasi West Ham dan mereka kembali meraih tempat keempat bagi tiket terakhir kelayakan Liga Juara-Juara daripada Everton yang beraksi kurang satu perlawanan.

“Ia satu perjudian,” kata Wenger. “Saya memberitahu sebelum perlawanan, ini adalah pasukan paling tua pernah saya turunkan sejak bersama Arsenal.” Sebagai rekod beliau pernah menggunakan pasukan Arsenal yang mempunyai purata usia 30 tahun menentang Leeds United pada 2003 namun strateginya itu tidak berjaya.
“Saya yakin dengan pemain berpengalaman,” jelas Wenger. “Malam ini (awal pagi semalam), agak luar biasa apabila saya menggunakan pemain dengan purata umur 30 tahun dan pengalaman amat membantu apabila anda berdepan lawan sukar.” Arsenal mara ke final Piala FA Sabtu lalu menerusi penentuan sepakan penalti ke atas juara bertahan Wigan Athletic bagaimanapun selepas empat perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan serta keletihan, Wenger membuat keputusan menggunakan pemain tua menentang West Ham.
Gol menerusi Lukas Podolski pada setiap babak serta sentuhan penyudah Olivier Giroud mengesahkan kemenangan untuk Arsenal yang ketinggalan lima minit sebelum babak pertama tamat melalui jaringan Matt Jarvis.

Jaringan menarik Giroud yang menyumbat 14 gol liga musim ini mendorong Wenger memuji mental penyerang Perancis itu selepas gagal beraksi baik pada babak pertama.
“Olivier individu hebat yang memiliki mentaliti hebat,” tegas Wenger. “Selepas tamat babak pertama dia sangat kecewa kerana terlepas banyak peluang tapi dia bangkit pada babak kedua kerana kekuatan mentalnya.” – Reuters

 

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");