Isu Panas

BN teliti cadangan hudud PAS

tan sri muhyiddin yassin

Georgetown: Barisan Nasional (BN) bersedia untuk meneliti secara mendalam berhubung usul pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, yang akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen PAS, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN perlu mengetahui kaedah pelaksanaan hukum hudud yang akan dilaksanakan di negeri Pantai Timur itu sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya.

Kita belum tahu apakah bentuk usul yang hendak dikemukakan itu, jadi apabila sampai (masa) nanti, BN akan meneliti cadangan itu secara semasak-masaknya dan mungkin di satu peringkat kita akan mengumumkan pendirian.

Saya secara peribadi, tidak menghalang perkara itu kerana adalah sesuatu yang berdosa kepada kita orang Islam untuk menyekat niat rakan Islam lain, yang hendak melaksanakan sesuatu yang memang dituntut agama, katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan semua ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, di sini, semalam.

Kerajaan PAS Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.

Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan. Niat PAS itu mendapat sokongan daripada kebanyakan Ahli Parlimen UMNO, bagaimanapun rakan sekutu parti berkenaan, PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang pula memberi reaksi berbeza.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Muhyiddin berkata, beliau menerima alasan bantahan Badan Perhubungan UMNO negeri terhadap pemindahan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth.
Kemuka fakta kukuh

Katanya, UMNO Pulau Pinang mengemukakan fakta kukuh dan mengambil kira kepentingan banyak pihak, terutamanya Bumiputera di Pulau Pinang serta bersedia untuk mengusulkan mengenainya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Asas kepada bantahan itu saya fikir munasabah dan kukuh. Apa pun kita akan serahkan pada pucuk pimpinan parti dan kerajaan bagi menimbang pandangan berkenaan, walaupun tujuan pemindahan itu jelas untuk pembangunan dan penempatan semula TUDM ke kawasan lain.

Ini kerana kesan pembangunan semula kawasan itu mesti diambil kira baik dari sudut kepentingan Pulau Pinang atau pun Melayu Pulau Pinang. UMNO dan Melayu Pulau Pinang melihat hal ini secara serius, katanya.

Pada Majlis Mesra Bersama Guru-guru Agama dan Pegawai Masjid Negeri Pulau Pinang, Muhyiddin meminta umat Islam negeri itu mengelak daripada berpecah belah kerana ia hanya akan melemahkan kekuasaan Melayu.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");