Laporan Eksklusif

Pusat Tahfiz Amal Tiada Kebenaran Kutip Derma Orang Ramai: Jaik

PERAK TODAY 7
Jabatan agama negeri dan pihak polis boleh mengambil tindakan tegas dengan menahan mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan nama Pusat Tahfiz Amal, dekat Yan, Kedah untuk mengutip derma kerana Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) sudah mengeluarkan notis penutupan operasinya sejak 10 Februari lalu.

Exco Agama Negeri Kedah, Mohd Rawi Abd Hamid, berkata pusat tahfiz berkenaan telah diarah tutup sepenuhnya dan kini hanya pembelajaran secara tidak formal disediakan di situ.

“Sebarang aktiviti mengutip derma melibatkan kanak-kanak yang mendakwa mereka mewakili pusat berkenaan perlu dibanteras sehabis mungkin.

“Selepas notis dikeluarkan pada Januari lalu, mana-mana penghuni dari pusat terbabit yang didapati menjalankan aktiviti mengutip derma akan ditangkap.

“Kita dapati gejala kutipan derma di Kedah sudah tidak berlaku kerana ia memerlukan kebenaran dan jika ada individu yang meminta derma tanpa surat kebenaran polis dan Jaik, mereka boleh ditahan,” tegasnya kepada Peraktoday.com.my.

Beliau mengulas pendedahan kegiatan mengutip derma yang yang menggunakan nama Pusat Tahfiz Amal di sekitar bandar raya Ipoh membabitkan kanak-kanak yang berusia di bawah umur.

Baru-baru ini, Peraktoday.com.my turun padang untuk meninjau sendiri lokasi dan aktiviti yang dilakukan oleh penghuni pusat terbabit.

Tinjauan mendapati masih kelihatan kanak-kanak dan orang dewasa berada dalam kawasan pusat berkenaan yang didakwa beroperasi sejak tahun 2005 lagi

Menurut seorang penduduk kampung yang ditemui, walaupun notis penutupan sudah dikeluarkan oleh Jaik, pusat terbabit beroperasi seperti sedia kala namun aktivitinya dilihat semakin berkurangan.

Jelasnya lagi, operasi pusat tahfiz berkenaan langsung tidak mencerminkan sistem pembelajaran yang sebenar dan secara mata kasar, kemudahan yang disediakan di pusat berkenaan juga tidak memuaskan seperti keadaan bilik darjah yang serba tidak terurus.

Mengulas lanjut, Mohd Rawi berkata, pihak pengurusan tahfiz itu pernah membuat rayuan namun ditolak oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata lagi, bagi membanteras kegiatan ini, dalangnya perlu ditangkap dan tindakan tegas perlu diambil berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Ujarnya, bagi membanteras gejala kutipan derma yang melibatkan institusi agama di Kedah, Jaik mempraktikkan kaedah pemantauan secara berterusan.

“Semua negeri perlu berkerjasama bagi memastikan aktiviti mengutip derma yang melibatkan kanak-kanak dan nama pusat tahfiz tersebut dapat dibanteras hingga ke peringkat akar umbi.

“Kami di sini gunakan kesalahan mengutip derma tanpa kebenaran itu untuk membasmi kegiatan tersebut di Kedah,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");