Jenayah

Penuntut kolej swasta didakwa pecah amanah

pecah amanah

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan RM8,240 Januari lepas.

Norfazihana Zaidan, 19, yang ketika kejadian bekerja sebagai penyambut tetamu merangkap juruwang Hotel Mid Town Villa, didakwa melakukan pecah amanah wang tunai bayaran daripada pelanggan hotel itu berjumlah RM8,240.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter penyambut tetamu dan juruwang hotel itu di Jalan Kasipillay, Sentul di sini antara pukul 4.13 petang 6 Januari lepas dan 4.04 petang 22 Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan kerana dia bakal menduduki peperiksaan di kolej pada minggu hadapan.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang penghantar surat mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat membabitkan RM6,956.

Syahrul Sabri Mat Tahir, 30, didakwa melakukan pecah amanah wang tunai RM6,956 untuk diserahkan ke ibu pejabat Syarikat Mayflower Acme Tour Sdn Bhd di cawangan syarikat itu di Segambut di sini pada pukul 3.30 petang 18 Mac lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 April ini untuk jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");