Membawang Hari Ini

Afgan memang hebat

afghan

Sebut saja nama pe­nyanyi kacak bersuara halus ini, ramai wanita akan ‘gila’ gara-gara pesona hebat jejaka dari Indonesia ini.

Afgan atau Afgan Syahreza, 24, kini menjadi buruan peminat dan masuk senarai artis negara jiran paling berpengaruh di sini.

Ketika menjayakan konsert sulungnya di Istana Budaya, Kuala Lumpur sebelum ini, tarikan yang ada pada Afgan membuatkan tiket konsert berkenaan laris.

Tampil dengan persembahan lebih mesra sempena Minggu Setiausaha 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam kelmarin, tidak puas rasanya menikmati persembahan pe­nyanyi itu.

Bukan tidak puas kerana persembahannya hambar, sebaliknya Afgan yang memang terkenal dengan persembahan bertenaga lagi mengasyikkan itu hanya mempersembahkan enam lagu.

Pastinya ia tidak cukup untuk membuat peminat pulang dengan senyuman puas memandangkan koleksi lagu popularnya yang banyak.

Sebahagian besar peminatnya pasti hadir dengan harapan lagu kegemaran mereka dinyanyikan, tapi nampaknya kerana kesuntukan masa dia hanya menyanyikan enam lagu saja.

Apapun, Afgan masih mampu membuatkan peminatnya menjadi tidak keruan tatkala dia menaiki pentas pada acara dihoskan Kuah Jenhan itu, dia terus diserbu.

Walhal, baru beberapa saat saja dia menyanyikan lagu terbarunya, Pesan Cinta, terus peminat menyerbu ke pentas untuk mengambil foto, malah tidak ketinggalan berselfie dengannya.

Tanpa rasa janggal, Afgan tidak menghampakan harapan peminat meskipun berada di tengah-tengah persembahan sambil sekali-sekala menghalakan mikrofon kepada mereka untuk menyanyi bersama.

Tercipta kemesraan yang pastinya sukar berlaku jika diadakan sewaktu konsert biasa kerana pada masa itulah waktu terbaik peminat menatap lebih dekat wajah penyanyi idola mereka itu.

Macam-macam kerenah dapat disaksikan ketika Afgan menyanyikan pula lagunya paling menjadi siulan ketika ini Jodoh Pasti Bertemu di mana dia sempat lagi mengusik peminat bertanyakan siapa masih belum berpunya.

“Ini lagu untuk mereka yang masih belum bertemu jodoh. Saya pun masih belum bertemu yang satu dan mana tahu kalau jodoh saya ada di sini malam ini,” katanya disusuli jeritan histeria peminatnya.

Bersungguh-sungguh mahu jadikan malam itu kenangan indah terutama buat golongan setiausaha yang hadir, dia turut singgah dari meja ke meja bersalaman serta mengambil gambar.

Benarlah Afgan layak digelar penyanyi hebat apabila masih mampu mengekalkan momentum vokalnya meskipun sambil melayan peminat.

Sempat meredakan keadaan dan mengajak hadirin untuk sama-sama memperingati tragedi pesawat MH370, nyanyiannya penuh penghayatan mengalunkan lagu Padamu Ku Bersujud.

Kegilaan kembali memuncak apabila lagu daripada album sebelum ini termasuk Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta ternyata menjadi yang dinanti-nantikan malam itu.

Menutup persembahannya, Afgan juga tidak ketinggalan mengajak peminatnya berdansa menerusi lagu Panah Asmara sambil kembali turun ke pentas mendekati mereka.

Terdahulu, penyanyi bersuara lantang Noryn Aziz tampil membuka pentas persembahan malam itu dengan suaranya yang memukau.

Meskipun sedang hamil, ternyata dia masih mampu mempersembahkan nyanyian mantapnya.

Lebih banyak menyanyikan lagu ‘cover version’, Noryn memulakan persembahan malam itu dengan lagu Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin disusuli medley lagu Adele iaitu Rolling in the Deep dan Set Fire To The Rain.

Dia juga sempat memberi penghormatan buat penumpang dan kru MH370 sebelum mendendangkan lagunya sendiri berjudul Tinta Putih, disusuli lagu terbarunya Cinta Sejati.

Menutup segmennya malam itu, dia kemudian mengajak peminat menari bersama lagu medley berentak rancak Happy dan You to Me Are Everything menggamatkan lagi suasana malam itu.

Mengakhiri sesi bersama dua penyanyi hebat itu, penonton turut berpeluang bertemu mesra dengan mereka sewaktu sesi bertemu peminat yang dilangsungkan sejurus acara berakhir.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");