Berita Hari Ini

Isu keselamatan klia2 selesai sepenuhnya – Abdul Aziz

klia

Pembukaan klia2 yang tinggal kurang dua minggu lagi, iaitu pada tanggal 2 Mei ini, semakin pasti apabila bangunan terminal lapangan terbang itu sudah menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) semalam.

Malah, Jabatan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICOW) yang sedang meneliti dan menjalankan pemeriksaan klia2 mendapati bangunan terminal lapangan terbang itu selamat untuk beroperasi meskipun sijil pengesahan yang rasmi belum dikeluarkan lagi.

Dengan adanya CCC itu, klia2 bakal beroperasi sepenuhnya 12 malam pada 2 Mei apabila sebuah pesawat dijangka mendarat pada pukul 12.10 pagi dan sebuah lagi berlepas pada 1.20 pagi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang mengesahkan perkara itu berkata, dengan adanya CCC dan sijil pengesahan daripada ICOW isu mengenai keselamatan klia2 selesai sepenuhnya.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kami semua gembira kerana klia2 dapat dibuka mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada 2 Mei ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MalaysiaGazette difahamkan CCC itu telah diserahkan kepada Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemantauan klia2 dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Abdul Hamid petang semalam.

Penyerahan CCC itu pernah menjadi kontroversi apabila syarikat kontraktor utama, UEM Construction Sendirian Berhad. dan Bina Puri Holdings Berhad gagal menyerahkan terminal itu pada akhir Januari lalu.

Kegagalan itu disebabkan masalah-masalah teknikal yang kini sudah pun diselesaikan sepenuhnya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan semua jabatan kerajaan sudah bersedia untuk beroperasi di klia2 pada 27 April ini, serentak dengan pembukaan kedai-kedai di dalam bangunan terminal.

Dalam pada itu, difahamkan tiada acara rasmi sempena pembukaan klia2 pada 2 Mei ini memandangkan perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.

MAHB dipercayai sedang menunggu tarikh daripada Pejabat Perdana Menteri bagi perasmian klia2 yang menelan kos RM3.9 bilion.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");