Jenayah

Persatuan Melayu Kristian S’pura aktif di Johor?

a rahman

SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor hari ini mendedahkan bagaimana Persatuan Melayu Kristian Singapura bergerak aktif menyebarkan agama itu dikalangan golongan muda di negeri ini terutamanya dikalangan anak-anak muda Melayu.

Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) Abdul Rahman Mahadi yang membuat dakwaan itu kepada MalaysiaGazette di dalam satu pertemuan di Johor Bahru berkata, aktiviti persatuan daripada negara jiran itu sebenarnya telah lama berlaku.

“Apa yang lebih malang adalah, agensi yang bertanggungjawab untuk memantau aktiviti itu mengetahuinya tetapi mereka tidak berdaya untuk membanterasnya disebabkan pelbagai kekangan atau kekurangan bukti,” kata beliau.

Menurutnya, persatuan itu yang rata-ratanya dianggotai oleh mereka yang berbangsa Melayu tetapi merupakan penganut agama Kristian bebas bergerak di Johor berikutan persamaan daripada paras rupa, bahasa dengan majoriti rakyat Johor iaitu orang-orang Melayu.

“Johor kini menjadi tumpuan mereka kerana mudah untuk mereka berulang alik tanpa meninggalkan sebarang kemusykilan dikalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Abdul Rahman mendakwa usaha penyebaran agama Kristian dikalangan anggota persatuan negara jiran itu tidak melibatkan sebarang pertemuan di dalam gereja, dewan tertutup atau sebagainya.

Ia dilakukan ditempat-tempat terbuka dan secara halus bagi mengaburi perhatian orang sekelilling, katanya.

Diantara lokasi tumpuan mereka katanya, adalah taman-taman rekreasi di mana anggota persatuan itu akan mengedarkan botol-botol air mineral yang sebenarnya mengandungi “holy water” kepada pengunjung taman rekreasi terbabit.

“Mereka kemudiannya akan mensasarkan individu tertentu yang pada pandangan mereka boleh didekati untuk memulakan perbualan tanpa menyentuh tentang agama Kristian. Ia akan berlanjutan selama beberapa ketika sehinggalah mereka berpuashati untuk memulakan usaha penyebaran,” katanya.

Satu lagi cara yang digunakan oleh anggota persatuan itu menurut Abdul Rahman adalah mendekati lepasan institusi pengajian tempatan yang masih gagal mencari pekerjaan dan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di republik itu.

Anak-anak muda ini katanya, akan dibawa ke Singapura kononya diatas dasar bekerja dengan firma direpublik itu dengan gaji yang amat lumayan bagi mereka, tetapi sebenarnya akan diberikan pendedahan mendalam tentang agama Kristian.

“Ada juga diantara anak-anak muda ini dikahwinkan dengan penganut agama Kristian bagi memperkukuhkan lagi ikatan agama baru mereka itu, ” kata beliau.

Aktiviti licik anggota persatuan ini katanya, sukar dihidu dan dibiayai oleh dana yang besar, selain dilaksanakan oleh mereka yang amat komited di dalam usaha penyebaran agama Kristian di kalangan anak-anak muda Melayu di Johor.

– MALAYSIAGAZETTE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");