Sukan Hari Ini

Fujiwara terpantas, Zamri beri cabaran

Fujiwara

HADIR sebagai pelumba pilihan, Katsuaki Fujiwara terus unggul apabila berjaya menguasai sesi latihan bebas SuperSports 600cc setelah merakam masa terpantas 1:05.793s pada hari pertama Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) yang berlangsung di Litar Sepang, semalam.

Pelumba Beet Kawasaki Racing itu mengetepikan pelumba Malaysia, Mohd Zamri Baba (Musashi Boon Siew Honda) yang merakam masa kedua terpantas dengan catatan 1:05.814s sambil Yuki Ito (Petronas Hong Leong Yamaha) muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:05.837s.

Bagi Fujiwara, dia berpuas hati dengan catatannya sekalipun berhadapan keadaan litar yang agak licin akibat kesan kemalangan pada peringkat awal sesi latihan bebas pertama di sebelah pagi.

“Segalanya berjalan dengan agak baik hari ini (semalam). Keadaan litar tidak begitu baik setelah beberapa pelumba mengalami kemalangan pada peringkat awal, namun tidak begitu mengganggu aksi saya, malah keadaan cuaca juga agak baik. Pemilihan tayar yang tepat juga banyak membantu,” katanya.

Bagi Zamri pula, sekalipun hadir bertongkat kerana masih belum pulih daripada kecederaan kaki, dia berupaya memberikan cabaran dan yakin mampu berada di barisan hadapan pada sesi ujian masa.

“Saya tidak bimbangkan tentang sesi latihan bebas ataupun sesi ujian masa esok kerana saya tidak perlu berada di litar untuk tempoh yang lama, jadi saya masih mampu menahan kesakitan, tambahan pula jentera saya juga cukup pantas dan memberi banyak kelebihan kepada saya.

“Apa yang membimbangkan saya adalah untuk menghadapi perlumbaan sebenar nanti (Ahad), kami perlu beraksi sebanyak 25 pusingan pada setiap perlumbaan, jadi saya perlu merancang strategi terbaik agar dapat menahan kesakitan untuk mengharungi 25 pusingan itu,” katanya.

Sementara itu, beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan kepada tiga pelumba Malaysia untuk menguasai kategori Underbone 130cc dengan Norizman Ismail (Harian Metro YTEQ SCK Honda Racing) muncul pelumba terpantas setelah merakam masa terbaik 1:21.682s pada sesi latihan bebas kedua.

Bekas rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli yang kini beraksi bersama Petronas Hong Leong Yamaha mencatat masa kedua terpantas dengan masa 1:22.048s yang dilakukan pada sesi latihan bebas pertama sambil gandingan baru Norizman, Ahmad Fazrul Sham ketiga, 1:22.217s.

Dalam saingan Asia Dream Cup (ADC), sekalipun terjatuh pada peringkat awal tidak menghalang Khairul Idham Pawi untuk muncul pelumba terpantas dengan catatan masa terbaik 1:21.006s.

Pelumba Jepun, Teppei Nagoe muncul pelumba kedua terbaik dengan masa 1:21.746s sambil pelumba India, Sumit Loucs Toppo ketiga, 1:21.943s.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");