Membawang Hari Ini

Suara emasnya pasti dirindui

Taufik

Bergegar Auditorium Angkasapuri Kuala Lumpur apabila pengacara popular, Taufik Latiff mengumumkan nama yang menjuarai Bintang RTM seperti Allahyarham Sudirman Arshad, M Rizal, Rosemaria, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Juliza Adlizan dan Noraliza Yusof.

Kekaguman penonton bukan saja kepada pemenang yang menjulang trofi pertandingan nyanyian berprestij tetapi juga terhadap Taufik selaku pengacara yang mempunyai suara lunak.

Bagaimanapun, suara itu tidak akan kedengaran dan berkumandang lagi kerana ia turut bersemadi bersama tuannya yang pergi menghadap Ilahi tepat jam 11.30 malam kelmarin.

Allahyarham Taufik, 69, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Kenangan indah bersamanya akan terus kekal dalam ingatan mereka yang pernah mengenali dan bekerja bersamanya di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Salah seorang insan yang rapat dengan Allahyarham ialah Noriah Letuar yang kini berjawatan Pengurus Saluran TV1.

“Saya mengenali Taufik sebaik saja menyertai RTM pada 1983 di unit hiburan. Ketika itu semua program hiburan di RTM dialah pe­ngacaranya.

“Jika bukan sebagai pengacara, suaranya digunakan untuk memberi taklimat kepada penonton di auditorium sebelum bermulanya siaran langsung atau rakaman program TV. Kelunakan suaranya yang tidak ada pada pengacara lain membuatkan segala program di RTM menggunakan suaranya.

“Walaupun dia sudah bersara, saya tetap panggil dia untuk mengendalikan majlis dalaman RTM dan sebagainya, tetapi selepas saya keluar dari unit hiburan RTM pada 2003, lama saya tidak bertemunya.

“Baru-baru ini ketika dia muncul pada sambutan Jubli Emas TV Malaysia, saya ternampak dia dari jauh tetapi tak sempat pula menegur dan merakamkan gambar terbaru dengan­nya,” katanya.

Menurut Noriah, Allahyarham seorang yang sangat baik, peramah, periang dan tidak pernah nampak dia marah.

“Bekerja dengannya pun senang dan saya tidak pernah dengar ada penerbit di RTM yang merungut mengenainya. Dia pengacara yang petah serta bijak memilih kata-kata dan amat menepati masa. Kembalinya dia ke rahmatullah pasti membuatkan kita merindui suara ‘emasnya’ itu,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Jamal Abdillah, Rohana Jalil dan Norshila Amin turut berkongsi kedukaan yang sama kerana mereka mengenali Allahyarham sejak 1980-an ketika menyertai Bintang RTM.

Pertandingan nya­nyian itu begitu sinonim dengan nama Allahyarham dan kehebatan Taufik di pentas pengacaraan tiada galang gantinya.

Menurut Rohana, sejak dia menyertai Bintang RTM pada 1980, hubungan mereka rapat.

“Saya kerap mendapat undangan daripada RTM, maka selalulah kami berjumpa. Dia baik dan saya selalu puji suaranya sedap. Belum ada pengacara yang boleh menandingi suara­nya. Allahyarham juga seorang yang suka tersenyum membuatkan siapa saja suka berkawan dengannya. Kali terakhir saya berjumpa de­ngannya pada sambutan Jubli Emas TV Malaysia pada Disember 2013,” katanya.

Jamal pula berkata, Allahyarham seorang yang ‘simple’ dan serius apabila mengacara.

“Apabila habis waktu kerja, karakternya di luar peramah, kelakar dan rileks. Dia memiliki suara yang orang akan ingat sampai bila-bila kerana cara penyampaiannya yang menusuk kalbu. Pengacara sekarang pun ramai yang bagus seperti Awal Ashaari dan Zizan Raja Lawak tetapi kita kena faham cara pengacara sekarang yang berubah mengikut masa,” katanya.

Norshila pula berkata, Allahyarham suka beri motivasi kepada peserta Bintang RTM.

“Waktu kami semua muda lagi dia banyak me­ngajar cara berkomunikasi kerana ia antara perkara penting apabila bergelar selebriti. Hati peminat kena jaga kerana sokongan merekalah artis berjaya.

“Saya ada kenangan de­ngan Allahyarham menyebabkan setiap kali berjumpa saya memanggilnya ‘kang­kung’. Apa pun Allahyarham seorang yang sangat baik,” katanya.

Hos Bintang RTM, Tekaria

Taufik yang dilahirkan pada 28 Mei 1945 berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran dan membina populariti menerusi program terbitan RTM seperti Bintang RTM, Tekaria dan Bintang HMI.

Setiap kali muncul di kaca TV, dia sentiasa kelihatan kemas dengan kot dan bertali leher serta sepatu bertumit.

Allahyarham membina populariti sekitar 1975 hing­ga 1986 menerusi pertandingan Bintang RTM yang dikendalikannya.

Allahyarham mengutamakan imej dan sentiasa menjaga penampilan. Walaupun dia hanya ditugaskan membaca intisari rancangan hanya lima minit sebelum berita, dia tetap akan bersiap rapi dan sejam sebelum ke udara dia sudah berada di studio.

Orang yang banyak berjasa dalam pencapaiannya dalam dunia pengacaraan ialah Allahyarham A R Kamaluddin yang me­ngajarnya cara pernafasan dan penyampaian yang betul. Bagi memastikan pernafasannya panjang agar dapat menyampai dengan menarik, dia terjun sungai dan menyelam sambil menahan nafas dalam air.

Kali terakhir Allahyarham muncul di TV1 sebagai pengacara Konsert Khas Jubli Emas TV Malaysia bergandingan de­ngan Daphne Iking pada 28 Disember, 2013.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor tengah hari semalam.

Allahyarham meninggalkan dua anak, Ariff Sukimin, 42, dan Anisah, 34.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");