Jenayah

Penduduk tidak puas hati

Pnduduk tak puas hati

MACHANG – Masalah jalan rosak akibat hakisan membimbangkan lebih 300 penduduk Kampung Bunut Tok Mek Teh dan Wek dekat sini, semalam, apabila pemaju perumahan berdekatan jalan masuk utama ke kampung itu bertindak menutup parit di kawasan berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan, Mohamad Hassan berkata, parit tersebut digali penduduk dengan tujuan mengelakkan hakisan jalan di kampung tersebut, kira-kira 10 tahun lalu dengan menggunakan wang sendiri.

Katanya, jalan tersebut diusahakan sendiri oleh penduduk sejak 15 tahun lalu sebagai alternatif kepada laluan utama sebelum ini yang sering ditenggelami air ketika musim tengkujuh.

“Kami sepakat bina jalan ini di atas tanah rizab jalan. Kami kumpul duit bersama-sama dan membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk membinanya dulu. Biarpun hanya jalan tanah merah, namun kami tidak kisah dan akhirnya jalan ini jadi laluan utama.

“Apabila jalan sering rosak, kami sekali lagi kumpul wang dan gali parit yang ditimbus itu untuk laluan air terutamanya pada musim tengkujuh, malangnya pemaju mengambil jalan mudah menutup parit tersebut dengan alasan berlaku hakisan tanah di kawasan perumahannya, yang terletak bersebelahan sedangkan parit tersebut berada di atas tanah rizab kerajaan,” katanya.

Mohamad berkata, pemaju boleh membina benteng mengelak tanah di kawasan perumahan tersebut terhakis, bukannya mengambil tindakan menutup parit tersebut.

Tambahnya, pada 2011, jalan tersebut diturap batu dan ia menggembirakan penduduk kerana mendapat laluan yang selesa.

“Baru-baru ini kami juga menerima berita gembira apabila Ahli Parlimen menyatakan persetujuan menurap jalan ini dengan tar tetapi jika parit tersebut ditimbus, jalan berkenaan akan rosak dan tindakan menurapnya hanya sia-sia.

“Kami juga bersedia jika pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ingin berbincang mengenai masalah ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Istaman Yaakub berkata, penduduk berharap PBT dan agensi kerajaan berkenaan membantu mereka menyelesaikan masalah itu dengan baik.

Katanya, laluan keluar masuk ke kampung tersebut bermasalah setiap kali musim tengkujuh dan jalan terbabit menjadi ‘penyelamat’ mereka sejak ia dibina.

“Kami sanggup mengeluarkan duit sendiri membina jalan dan parit ini. Tiba-tiba ada pihak yang mengambil jalan mudah menimbusnya.

Tindakan ini tidak adil bagi kami dan saya harap ada penyelesaian yang dapat membantu kami,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan oleh pihak berkenaan bahawa masalah penduduk itu mendapat perhatian pihaknya namun enggan mengulas lanjut mengenainya sehingga perbincangan bersama agensi terbabit diadakan bagi mencapai penyelesaian.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");