Membawang Hari Ini

Menghibur sambil beramal

ramli sarip 3

Sepatutnya persembahan Ramli Sarip Blues Buat Teman Tour 2014 sudah melabuhkan tirai di Miri, Sarawak pada 5 April lalu.

Bagaimanapun, per­sembahan sebelum itu yang sepatutnya berlangsung di Persada Johor Bahru pada 28 Mac lalu ditunda bagi menghormati tragedi pesawat MH370. Justeru, tarikh baru terpaksa dipilih dan Ramli menetapkan untuk mengadakan persembahan di Persada Johor Bahru pada 2 Mei ini.

“Mulanya saya bercadang buat persembahan pada 1 Mei, tapi terfikir tak sesuai pula kerana malam Jumaat dan akhirnya kami pilih 2 Mei kerana lebih sesuai. Jadinya peminat boleh berhibur tanpa halangan,” kata­nya.

Ramli menganggap ada hikmahnya membuat penutup di situ dan percaya peminat akan hadir me­nyaksikan persembahan yang dianggap intim ini.

“Kemungkinan Blues Buat Teman Tour 2014 akan berakhir di situ. Walaupun berat hati, saya terpaksa terima hakikat. Insya-Allah saya akan undang juga Yazid Search, Hamid Black Dog Bone dan keluarga Allahyarham Samad Mian yang akan diberi bantuan untuk hadir menonton.

“Bagaimanapun, sumbangan itu tidak diberikan pada malam yang sama kerana situasinya agak tak sesuai. Jadi, saya merancang buat satu majlis khas untuk penyerahan sumbangan dan akan mengajak sama barisan penganjur yang bekerjasama dalam showcase ini sebagai penghargaan.

“Di sini saya akan jelaskan secara terperinci ke mana wang ini pergi. Secara peribadi saya melihat showcase ini bukan mudah untuk dianjurkan, tapi ia mengajar dalam banyak perkara antaranya keyakinan dan ketabahan. Blues Buat Teman 2014 berkaitan masa, tenaga dan wang ringgit. Kami adakannya secara sederhana dan mudah-mudahan ia tak merugikan,” katanya.

Ramli berkata, persembahan di semua lokasi berjalan seperti dirancang kecuali di Kelantan, sekali gus mencetuskan semangat buat semua yang terbabit untuk meneruskan lagi projek ini.

“Semua lagu dinyanyikan mengikut kehendak penonton kerana mereka datang daripada berlainan karakter. Selepas berlakunya tragedi MH370, kami turut adakan satu segmen khas berkenaan ingatan dan kepasrahan terhadap kejadian ini.

“Lagu yang ditampilkan memberikan kesan tersendiri antaranya Kau Yang Satu, Perjalanan Hidup, Hilang Gelap Timbul Terang dan banyak lagi. Saya selitkan kata-kata positif dan motivasi buat penonton yang hadir. Tak dinafikan ada juga pihak yang mempertikai mengapa per­sembahan ini masih berlangsung.

“Saya jelaskan di sini benda ini sudah lama dirancang. Ia berlangsung dalam dewan atau tempat tertutup dan ada tema sendiri. Kami cari rezeki dan cari dana untuk bantu orang lain. Di dalamnya ada unsur positif dan bukan ‘party band’. Ada yang kaitkan konsert ini dengan kejadian di Bukit Jalil, tapi saya sudah jelaskan perkara sebenar,” katanya.

Banyak pengalaman menyentuh hati

Sepanjang tour ini, banyak coretan menarik yang dilalui Ramli dan berguna yang boleh dikongsi de­ngan semua peminat.

“Di Ipoh misalnya, kami berkongsi pengalaman dalam industri muzik dengan pelajar sebuah pusat pengajian ting­gi. Di Miri pula, saya lalui pengalaman luar biasa dengan anak-anak yatim PERYATIM. Mereka minta lagu-lagu seperti Teratai, Doa Buat Kekasih dan Kamelia. Bukan saya tak pernah hiburkan anak-anak yatim, tapi kali ini memang saya rasa tersentuh,” katanya.

Ramli berkata, semua yang terbabit dalam persembahan ini daripada pekerja, pemuzik dan anak yatim menerima bahagian masing-masing.

“Saya pula meraih keuntungan menerusi jualan CD, kemeja-T dan barangan peribadi seperti gitar. Pembahagian sumbangan untuk rakan-rakan artis akan dibuat sama rata. Saya tak anggap persembahan Blues Buat Teman Tour 2014 akan berakhir di sini kerana selepas itu akan terus aktif berkarya.

“Saya akan terbabit dengan persembahan lain selepas itu antaranya di Esplanade, Singapura. Untuk persembahan di Persada, saya akan tampilkan penyanyi Ayai Illusi sebagai artis undangan. Sebahagian tiket masih lagi dijual dan peminat boleh mendapatkan­nya segera. Sebahagian tiket juga akan disumbangkan bagi mengisi tabung Yayasan Bandaraya Johor Bahru,” katanya.

Ramli menjelaskan, siri jelajah showcase ini turut dirakamkan dan kemungkinan akan diterbitkan dalam bentuk program travelog untuk stesen TV.

“Segala aktiviti di belakang tabir dan perjalanan showcase ini dirakam untuk tontonan semua. Kadangkala saya sendiri tak tahu di mana mereka letakkan kamera,” katanya yang akan menyampaikan sebuah puisi khas berjudul Blues Buat Teman pada persembahan pe­nutup ini.

Tiket untuk menonton persembahan ini berharga RM65 dan boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");