Membawang Hari Ini

Mencari jejaka

mencari jejaka

Awalnya dia sekadar mencari model dari pada kelompok bukan profesional untuk memperagakan pakaian ‘ready-to-wear’ atau ‘pret-a-porter’ khusus untuk golongan maskulin menerusi koleksi dinamakan HIMbyHatta.

HIMbyHatta, inspirasi terbaru pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat bakal menembusi pasaran pada 26 April ini, serentak dengan majlis pelancaran jenama itu yang bakal menampilkan 10 peserta HIMbyHatta yang berjaya.

Apa yang mengejutkan Hatta, projek dimulakan secara ‘suka-suka’ itu berubah menjadi satu program serius sehinggakan kisah dan perkembangan 15 calon peserta HIMbyHatta menjadi berita ‘trending’ di laman sosial Instagram.

Sebahagian besar daripada mereka sudahpun mengumpul peminat sendiri hanya berdasarkan foto-foto aktiviti yang dimuat turun menerusi laman Instagram HIMbyHatta yang dibuka khas sempena pencarian model bagi jenama itu.

Lebih mengejutkan Hatta, hampir semua peserta yang terbabit dalam projek itu bukan saja menjadi perhatian banyak pihak, malah menjadi buruan pengarah dan produser drama, filem serta komersial.

“Saya memang tidak sangka projek percubaan dalam mencari model bukan dari kelompok profesional yang bakal memperagakan keluaran pertama HIMbyHatta pada 26 April nanti menjadi satu acara yang serius selain diperkatakan ramai pihak.

“Malah ada pihak TV stesen bertanyakan kepada saya, kenapa tidak mengirimkan kertas cadangan untuk menjadikan projek ini sebuah program realiti TV.

“Insya-Allah mungkin edisi kedua label HIMbyHatta, idea itu boleh dipertimbangkan. Alhamdulillah, banyak pihak penaja yang menawarkan diri untuk terbabit. Malah, sebahagian besar peserta HIMbyHatta ini sudah dirisik syarikat pe­ngurusan artis ternama selain buruan pengarah dan produser drama, filem serta iklan komersial.

“Bagaimanapun buat masa ini mereka terikat dengan projek HIMbyHatta dan seperti pernah saya maklumkan kepada pihak yang berkenaan, ha­nya selepas pertandingan akhir pada 26 April ini, barulah kita boleh putuskan apa yang sesuai buat semua finalis ini,” kata­nya.

Melanjutkan perbualan, Hatta menambah, lebih daripada 80 penyertaan diterima pihaknya sewaktu mewar-warkan pencarian model HIMbyHatta yang diadakan kurang sebulan lalu.

Memilih laman sosial Instagram sebagai medium mempromosikan projek itu, Hatta memaklumkan peserta diminta mengirimkan gambar terbaik mereka.

Daripada lebih 80 penyertaan yang diterima hanya 15 peserta berjaya ke pusingan seterusnya selepas satu sesi uji bakat dilakukan yang mensyaratkan peserta membawa kemeja-T bulat berwarna putih, kemeja-T tanpa lengan berwarna hitam, gambar serta keterangan peribadi.

Selain Hatta, penilaian ke atas peserta dilakukan Editor Stailista Haswari Ali; Pensyarah Fakulti Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Faizal Abdul Hamid dan juga Editor Fesyen Majalah InTrend, Iqbaq V Azwan.

Hampir semua peserta yang hadir berjaya mengagumkan panel juri kerana jika dinilai secara luaran, setiap daripada mereka memiliki wajah yang tampan, bentuk tubuh menarik dan gaya tersendiri. Ada di antaranya masih menuntut, berkerjaya profesional termasuk mengusahakan perniagaan sendiri.

“Orang selalu berpendapat, model pakai apa saja tentu jadi menarik dan saya mahu mengubah persepsi itu. Saya mahu masyarakat umum tahu bahawa label yang saya perkenalkan ini sesuai untuk semua jejaka di luar sana dan kerana itulah modelnya juga saya pilih daripada kelompok orang biasa,” katanya.

Pencarian itu mempertaruh­kan dua kategori utama iaitu Peserta Favorite yang dinilai daripada jumlah undian di Instagram. Sementara Wajah HIMbyHatta, pilihan juri profesional sepenuhnya.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan menerima RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 mengikut ‘ranking’ kedudukan termasuk tiket penerbangan ke destinasi yang terpilih tajaan AirAsia.

Selain itu, juara turut diberi keahlian s percuma di Celebrity Fitness selama enam bulan manakala naib juara dan tempat ketiga diberi keahlian percuma tiga bulan.

Hadiah menarik lain turut ditawarkan kepada setiap pemenang iaitu set produk penjagaan kulit Dermalogica dan sepasang kasut Dr Martens termasuk tajaan biasiswa dari City University.

Sementara itu, Derrick and Team Saloon, berbesar hati menawarkan perkhidmatan dandanan rambut kepada setiap finalis.

Model Thailand turut serta

Setakat ini, Mohd Norafifi Mohd Razi atau Pipi Razi, 26 dan Ahmad Aidit Noh, 21 (Aidit) antara yang paling popular serta mendapat undian tertinggi.

Cukup menarik apabila dua daripada 15 peserta pencarian ini berasal dari Thailand iaitu Pierre dan Armando.

Peserta lain yang turut memberi saingan sengit adalah Fadhli, Asryaf, Anis, Kasmer Mulihanz, Syarif Alli, Joharee Muhammad, Fizi Jamaludin, Aidil Maula, Ashrav Daud, Megat dan Aman.

Aidit, jejaka berlesung pipit yang diberi gelaran ‘the next Aaron Aziz’ sejak menyertai pencarian itu, masih menuntut di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dalam jurusan Kejuruteraan Pesawat.

“Saya suka ‘pose’ atau bergambar selain minat juga nak buat ‘modeling’. Jadi apabila dapat tahu mengenai pencarian HIMbyHatta ini, saya terfikir apa salahnya mencuba untuk membina keyakinan diri. Kalau diberi peluang untuk terbabit dalam bidang seni, saya pilih untuk berlakon kerana itu juga salah satu minat saya,” katanya yang sudah dirisik beberapa pihak.

Mohd Fadhli Mohd Saleh, 24, yang baru saja tamat pengajian di Universiti Multimedia, pada mulanya tidak mengetahui pencarian HIMbyHatta ini satu pertandingan.

“Saya sangka Hatta mahu mencari model ‘runaway’ untuk koleksi terbarunya. Namun ketika uji bakat, saya lihat ada juri dan dimaklumkan sebuah pertandingan, jadi saya cuba sajalah.

“Tidak sangka pula terpilih sebagai 15 peserta terbaik. Ada beberapa aktiviti sudah kami jalankan dan saya melihat banyak juga kesilapan yang dibuat jadi saya berasa mungkin peluang untuk menang itu agak sukar. Apapun, selagi saya masih disini saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Sama seperti Fadhli, Muhammad Joharee Johari, 24, juga tidak menyangka ini adalah sebuah pertandingan. Malah, berasa kecil selepas melihat latar belakang pendidikan setiap peserta dan personaliti mereka.

Sementara itu, Anis Sabri Mohd Nordin, 26, peserta persis wajah selebriti Korea ini bukanlah lagi asing dengan dunia modeling. Bahkan sudah seringkali menjayakan iklan komersial.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");