Berita Hari Ini

Atasi masalah sesak di bandar raya

parkir bertingkat

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang menambah parkir bertingkat automatik (Rotary Type) yang dilihat semakin mendapat sambutan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, cadangan itu akan dibuat kepada kerajaan negeri berikutan kemudahan pertama seumpamanya di Jalan Batas Baru, di sini, mendapat sambutan baik pengguna.

“Melihat sambutan positif terhadap kemudahan itu, kita (MBKT) tidak berhasrat untuk membinanya di lokasi lain kerana kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu kini semakin sesak, dan hampir setiap tahun kenderaan semakin bertambah.

“Biarpun tahun pertama kemudahan ini dibuka, pelbagai rungutan serta cemuhan diterima, tetapi apa yang dikeji itu kini dipuji sehingga ada beberapa pihak luar negeri, antaranya kerajaan Sarawak dan pihak pentadbiran Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras datang membuat kajian serta berbincang menyatakan minat untuk membinanya di tempat mereka,” katanya.

Menurut Adzlan, sejak awal beroperasi tahun 2011, hanya 15,000 pemilik kenderaan menggunakan kemudahan itu, kemudiannya jumlah itu sentiasa meningkat 18,000 (2012) dan 30,000 (2013).

“Apa yang membanggakan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, kita sudah merekodkan sebanyak 6,000 kenderaan menggunakan perkhidmatan itu.

“Tahun pertama sememangnya menimbulkan sedikit masalah kerana pengguna masih ragu-ragu untuk mencuba, ada di antara mereka bimbang kenderaan sukar diturunkan jika berlaku kerosakan atau terputus bekalan elektrik,” katanya.

Tambah Adzlan, parkir automatik itu mampu memuatkan lebih 200 kereta dan 32 kenderaan pelbagai guna pada satu masa dengan kadar bayaran RM2.50 bagi sejam pertama dan RM1 untuk jam berikutnya.

Bagaimanapun, lokasi pembinaan parkir automatik itu masih dalam perbincangan dan bakal ditentukan selepas mendapat persetujuan kerajaan negeri.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");