Jenayah

Tiga beranak diancam penyamun bertopeng

diancam penyamun

JENGKA – Seorang peneroka bertindak nekad untuk meloloskan diri ke luar rumah bagi meminta bantuan jiran selepas menyedari nyawa dia tiga beranak terancam dalam satu kejadian samun bersenjata di Felda Jengka 21, kira-kira jam 3.15 pagi, semalam.

Mangsa bertindak demikian apabila menyedari penyamun yang memasuki rumahnya itu mula bersikap agresif dan tidak berpuas hati walaupun sudah mendapat wang tunai berjumlah RM3,000 dan beberapa barang kemas.

Harun Abdul Rahman, 59, yang juga seorang peniaga kedai runcit berkata, dia yang sedang tidur bersama isteri, Siti Laila Ahmad, 58, dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bertopeng muka dan bersenjatakan parang panjang di dalam bilik mereka.

Menurutnya, seorang anak lelaki berusia 23 tahun yang telah diikat tangan turut dibawa ke dalam bilik itu sebelum ketiga lelaki terbabit mendesak menyerahkan wang tunai dan barang kemas.

“Mereka masuk ke dalam rumah dengan memotong besi tingkap nako di bahagian dapur dan pergi ke bilik anak terlebih dahulu.

“Mereka minta saya memanggil kami dari luar bilik dan kerana kami tidak sedar, seorang daripada lelaki itu memecahkan pintu bilik menggunakan tong gas.

“Kami dikumpulkan dalam satu bilik dan tangan saya diikat dengan kain langsir sementara anak dan isteri menggunakan wayar seterika dan tali buaian,” katanya.

Harun berkata, dia sudah menyerahkan wang tunai dan barangan kemas berjumlah hampir RM8,000 namun ketiga lelaki itu masih tidak berpuas hati dan mendesak secara kasar dengan memukul.

Menurutnya, ketika salah seorang lelaki itu mengikut isteri mendapatkan kad tambah nilai di kedai runcit di bahagian depan rumah, dia berjaya membuka ikatan kain di tangan.

“Saya mengambil masa lebih kurang lima minit untuk berfikir cara untuk meloloskan diri dan ketika lelaki di dalam bilik tengah alpa menggeledah, saya segera berlari keluar ikut pintu dapur.

“Lelaki itu sedar dan mengejar hingga ke luar sambil menghayun parang, namun menghilangkan diri sebaik saya menjerit meminta pertolongan jiran.

“Dua lelaki lain di dalam rumah turut melarikan diri namun gagal dikesan jiran yang keluar mendengar jeritan saya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");