Sukan Hari Ini

Tekad Cheng Hoe

cheng hoe

IMPIAN menjadi kenyataan, itu perkataan pertama keluar dari pemangku Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang kembali ke pangkuan bekas pasukannya menabur bakti dan mahu membalas kepercayaan diberikan suatu ketika dahulu sebagai pemain pertahanan.

Bekas Penolong Ketua Jurulatih Harimau Malaya ini bagaimanapun mengakui mengalas tugas besar untuk kembali memulihkan reputasi Kedah yang dilihat tercalar sejak beberapa musim selain aksi tidak menentu pada pusingan pertama Liga Premier 2014.

ELAK TEKANAN

Lang Merah yang memperoleh kemenangan besar menjinakkan jiran setempat, Perlis (6-1), Isnin lalu seolah-olah mendapat suntikan baru dan Cheng Hoe menjelaskan beliau akan bersemuka dengan semua pemain memastikan momentum mampu diteruskan sehingga ke hujung saingan liga.

Jelasnya, semua pihak termasuk para penyokong yang dahagakan kejayaan agar lebih tenang dan dirinya sendiri tidak meletakkan harapan tinggi ke atas pasukannya.

“Sebagai seorang pemain profesional, kamu perlu melihat kepada persiapan sendiri bagaimana mempersiapkan fizikal dan mental, rehat cukup.

Selepas beberapa tahun berada di dalam sukan ini, kamu patut tahu bagaimana menjaga diri sendiri,” katanya.

TARUH HARAPAN

Ujarnya, terlalu awal memberikan gambaran bahawa Lang Merah mampu melonjak menyaingi dua kelompok atasan tetapi harapan layak ke saingan Piala Malaysia musim ini masih ada.

Melihat kepada jurang mata dengan pendahulu liga, PDRM yang cukup besar membuatkan Cheng Hoe tidak meletakkan sasaran dan paling penting kini adalah beliau mahu pemain fokus setiap perlawanan.

“Saya perlu memperbaiki corak permainan Kedah dalam usaha memulihkan keyakinan mereka dan perlu sentiasa ada motivasikan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

TIMBA PENGALAMAN

Antara perubahan corak permainan yang kini mula diperkenalkan oleh Cheng Hoe ke dalam corak dan formasi pasukan adalah hantaran pendek berbanding sebelumnya.

Mengakui ia antara perwatakan baru Kedah yang cuba ditonjolkan, Cheng Hoe menambah pemain perlu mengurangkan masalah kehilangan bola dalam kawalan sendiri yang seterusnya diambil peluang lawan.

“Pemain muda juga perlu meraih seberapa banyak ilmu dan pengalaman dari barisan import seperti Billy Osman Mehmet, Adam Grifiths dan Jose Franco,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");