Berita Hari Ini

Kaum Cina digalak sertai SPRM

abu kassim mohamed

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggalakkan lebih ramai kaum Cina menyertai warga kerjanya untuk bersama-sama dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata penyertaan komuniti Cina terutamanya belia yang baharu menamatkan pengajian, sangat diperlukan oleh SPRM bagi membantu menjelaskan kepada orang awam, khususnya kaum Cina, berkenaan rasuah selain menguruskan aduan masyarakat.

“Pegawai berketurunan Cina boleh dikatakan agak kurang dalam SPRM. Tidak dapat dinafikan gaji merupakan antara faktor yang diberi keutamaan dalam kalangan mereka ketika mencari pekerjaan.

“Namun gaji pegawai SPRM sebenarnya agak lumayan berbanding dengan sektor swasta terutama bagi yang mempunyai kelulusan ijazah,” katanya dalam majlis dialog bersama masyarakat Cina di ibu pejabat akhbar Sin Chew Daily di sini, malam tadi.

Katanya belia Cina yang berminat untuk menyertai SPRM boleh merujuk laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dari segi pengambilan serta cara permohonan, dari semasa ke semasa.

“Bagi mereka yang ingin memahami skop perkhidmatan seseorang pegawai SPRM, atau jika anda menghadapi kesukaran untuk memohon, anda boleh menulis kepada saya menerusi e-mel di laman sesawang kami dan saya akan minta pegawai saya bantu anda,” katanya.

Sementara itu, Abu Kassim berkata selain SPRM yang bertindak sebagai agensi utama membanteras rasuah, orang awam juga berperanan dalam memberi kerjasama untuk mencapai tujuan itu.

“Misalnya, apabila sesuatu kes rasuah dibawa ke mahkamah, kami memerlukan saksi untuk membuktikannya namun apa yang menyedihkan mereka hanya mampu membuat aduan mengenainya tetapi tidak berani untuk tampil ke mahkamah bagi memberi keterangan,” katanya.

Berhubung prestasi pegawai SPRM dalam perkhidmatan mereka , Abu Kassim berkata orang awam boleh membuat aduan terhadap mana-mana pegawai yang didapati tidak menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik.

“Kami akan memastikan pegawai yang didapati melakukan kesalahan diambil tindakan sewajarnya supaya mutu perkhidmatan SPRM dapat dipertingkatkan,” katanya.

Majlis dialog yang dianjurkan oleh akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Daily itu berlangsung selama dua jam dan dihadiri lebih 70 peserta yang terdiri daripada masyarakat Tionghua. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");