Jenayah

Geng perompak berlagak baik

perompak

KUALA LANGAT – Salah seorang perompak berlagak baik apabila sempat mengucapkan kata-kata maaf kepada ahli keluarga yang menghuni sebuah rumah di Batu 7, Sijangkang, kelmarin.

‘Minta maaf ye makcik, kita tak cederakan orang. Cuma datang ambil barang je’ itulah kata-kata terakhir yang sempat diucapkan salah seorang  penjenayah itu sebelum melarikan diri melalui pintu dapur.

Siti Salmiah Sahlan, 54, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan terkejut apabila terdengar pintu biliknya dibuka.

Dia kemudian melihat lima perompak terbabit masuk ke dalam biliknya lantas menolak anak keempatnya yang berumur 26 tahun ke arahnya sebelum mengarahkan mereka duduk dan diam.

Menurutnya, dia yang baru menjalani pembedahan jantung pada Oktober lalu, menyifatkan kejadian tersebut seperti nyawa anggota keluarganya berada di hujung tanduk,  apabila kumpulan itu menyerang mereka sekeluarga.

“Anak makcik beritahu, dia dipijak oleh seorang perompak dan diarahkan masuk ke bilik makcik. Lepas itu, kelima-lima perompak tu masuk ke bilik seorang lagi anak makcik yang umur 22 tahun. Anak makcik yang itu dibawa ke bilik anak keempat yang dah berkeluarga. Lepas tu, anak-anak makcik diarahkan segera ke bilik utama.

“Masa tu, menantu dan dua cucu makcik yang umur lapan bulan dan dua tahun, dibiarkan dalam bilik. Anak perempuan makcik yang bakal jadi pengantin tu pun turut diarahkan pergi ke bilik menantu. Alhamdulillah, perompak tu tak apa-apakan anak dan menantu makcik,” katanya.

Anak keempatnya, Mohd Hafiz Johari, 28, berkata, ketika diarahkan ke bilik utama, dia hanya berdoa agar kakak, isteri dan dua anaknya tidak diapa-apakan.

“Saya disuruh berada di bilik berasingan. Salah seorang dari perompak yang tak pakai topeng acukan parang samurai ke leher saya, selepas saya cuba naik ke tingkat atas untuk dapatkan isteri dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengikut arahan perompak berkenaan kerana khuatir perompak yang bersenjatakan parang samurai dan peralatan tajam termasuk pisau dan pemutar skru itu bertindak mencederakan kedua ibu bapa dan dua adik lelakinya yang ketika itu sudah pun diikat dengan selimut dan baju.

“Kami sekeluarga kerugian hampir RM50,000 termasuk wang tunai RM12,000 untuk belanja majlis kahwin. Enam utas gelang tangan dan tiga utas rantai, 12 jenis telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah komputer riba semua dirompak.

“Perompak tu geledah rumah kami tak sampai 20 minit. Kami percaya mereka ni orang tempatan dan warga asing. Sebab kami dengar loghat bahasa mereka ketika arahkan kami diam,” katanya mewakili keluarga yang masih trauma dengan kejadian itu.

Hafiz berkata, sebelum kejadian itu, rumah jirannya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya turut dimasuki sekumpulan perompak.

Mereka mengesyaki ia turut dilakukan kumpulan perompak yang sama.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila enam perompak memecah masuk ke dalam sebuah rumah dengan mengumpil pintu utama sebelum membuka pintu dapur.

Bagaimanapun, hanya lima perompak yang bertopeng menggeledah masuk, sementara seorang daripada geng penjenayah itu tidak memakai topeng.

Difahamkan penghuni rumah terbabit masuk tidur lewat pada hari kejadian kerana sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan anak perempuan kedua keluarga terbabit pada 27 April ini.

Keluarga berkenaan telah membuat laporan ke Balai Polis Telok Panglima Garang bagi bantu siasatan lanjut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");