Berita Hari Ini

Hudud: Pas berdepan prinsip DAP

dr zainal kling

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan masih lagi berhadapan dengan cabaran besar untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) walaupun selepas kematian Bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Mendiang Karpal Singh.

Penganalisis Politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, ini kerana sebelum ini Karpal yang dilihat mengetuai DAP menolak hukum hudud adalah berdasarkan prinsip DAP itu sendiri.

“Sebelum ini Karpal menyuarakan prinsip DAP, maka kalau Karpal tiada pun, DAP masih lagi tidak bersetuju, cabaran kepada Pas Kelantan tetap sama.

“Sehingga kini, pendapat saya mengatakan tiada laluan mudah untuk Pas, jika apa yang disuarakan Karpal sebelum ini adalah pendapat peribadinya, mungkin ada jalan untuk Pas melangkau daripada cabaran ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Karpal sebelum ini di antara pemimpin yang tegas bersuara secara konsisten menolak isu hudud dan penubuhan negara Islam seperti dilaungkan Pas kerana mahu menjaga kepentingan, prinsip dan akar umbi parti.

Zainal berkata, selain itu juga Pas perlu meneliti perkara ini dengan lebih mendalam memandangkan untuk mengubah sesuatu perkara dalam perlembagaan bukannya mudah sebagaimana yang difikirkan.

Beliau yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara (MPN) itu juga berkata, malah MCA dan MIC juga telah menyatakan ketidaksetujuan mereka dan ini tidak mustahil mereka akan bergabung membentuk satu kumpulan untuk menentang pelaksanaannya.

“DAP tetap dengan pendirian, malah parti-parti komponen bukan Islam juga belum tentu akan menyambut baik dan menerima, tidak mustahil jika mereka menolak, dua masalah yang harus Pas teliti. Persetujuan dan perubahan perlembagaan, bagi saya, kedua-duanya mempunyai cabaran yang tersendiri,” kata penganalisi politik itu lagi.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");