Membawang Hari Ini

Bila teknologi atasi manusia

teknologi atasi mnusia

JIKA dua minggu lalu, kita disajikan dengan sebuah filem robot yang mempunyai naluri dan jatuh cinta pada manusia, kini penonton yang meminati filem bergenre sains fiksyen, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem hebat yang menampilkan Johnny Depp, Rebecca Hall, dan Morgan Free dalam Transcendence.

Transcendence yang bermaksud di luar kotak pemikiran ini menceritakan mengenai saintis, Dr. Will Caster (Depp) seorang pakar penyelidik dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence)

Dr. Will mahu mencipta satu alat yang mempunyai emosi serta lebih maju dari teknologi yang sedia ada dengan misi untuk merealisasikan dunia yang lebih baik.

Namun, usaha yang dilakukan oleh Dr. Will bersama isterinya Evelyn (Hall) dan sahabat baiknya Max Waters (Bettany) menerima tentangan hebat daripada puak pelampau yang diketuai oleh Bre (Mara).

Oleh itu, dengan harapan untuk menggagalkan misi Dr Will, Bre telah meletupkan beberapa buah makmal penyelidikan dan menembak Dr Will dengan peluru radioaktif yang diletakkan racun radiasi.

Enggan menerima kenyataan bahawa hayat suaminya hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, Evelyn telah mencadangkan agar ‘minda’ suaminya dijadikan sebahagian daripada teknologi dengan harapan agar suaminya itu akan kekal ‘hidup’ walaupun sekadar berada dalam alam maya.

Namun, dek kerana ketidakseimbangan minda, Dr Will telah mengatasi hukum alam dan sekali gus menjadi dia bagai ‘Tuhan’ kedua yang mampu melakukan keajaiban menggunakan teknologi.

Menyedari tindakannya bakal memudaratkan dunia, Max mencadangkan untuk mematikan Dr. Will iaitu dengan memuat naik virus ke alam maya yang juga bakal melumpuhkan teknologi seluruh dunia.

Namun, mampukah langkah Dr. Will dikekang dan sanggupkah Evelyn membiarkan sahaja suaminya itu dimatikan?

Plot perlahan

Namun di sebalik jalan cerita yang cukup menarik, penulis sedikit kecewa dengan naratif penceritaan yang agak perlahan sehingga sedikit mengganggu tumpuan.

Mungkin kerana mahu menerangkan mengenai teknologi yang ingin mereka lakukan maka plot penceritaan dari satu babak ke satu babak terasa meleret-leret.

Mujur keterujaan untuk menyaksikan filem ini dapat dirasai di kemuncak, di mana kuasa Dr. Will mula hebat berkembang, namun sayangnya momentum itu tidak dikekalkan dengan pengakhiran yang cukup lopong.

Sisi berbeza Depp

Biarpun jalan cerita filem ini agak perlahan, anda pasti akan berpuas hati dengan lakonan mantap Depp biarpun beberapa babaknya berlangsung di dalam komputer, namun segala lontaran dialog dan emosi dapat dirasai.

Bahkan tidak keterlaluan untuk penulis katakan Transcendence menampilkan sisi lakonan Depp yang berbeza dan lebih serius berbanding lakonannya yang lain.

Meskipun ada ketikanya cuba berjenaka, namun peranan dan aura sebagai Dr Will tetap dirasai dari permulaan sehingga ke penghujung jalan cerita.

Begitu juga dengan peranan lain seperti Hall, Freeman dan lain-lain yang berjaya mengemudi watak mereka dengan cukup baik.

Pendek kata, biarpun jalan cerita perlahan, namun lakonan mantap mampu menutup kekurangan itu.

Nasihat penulis, fokus sejak permulaan jalan cerita bagi mengelakkan anda merasa keliru sehingga ke penghujung jalan cerita.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");