Sukan Hari Ini

Pendahulu Liga Super, Pahang, Bukti Mereka Sukar Ditandingi

logo liga super

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) — Pendahulu Liga Super, Pahang, membuktikan mereka sukar ditandingi pasukan lain apabila mengalahkan Sime Darby 4-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pasukan Tok Gajah kini mengumpul 28 mata dengan perbezaan satu mata di depan pencabar utama iaitu Selangor.

Pahang membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi R. Surendran sebelum penyerang berbisa berasal dari Argentina, Matias Conti, menjaringkan dua gol pada minit ke-35 dan minit ke-45.

Dickson Nwakaeme kemudian menjaringkan gol keempat pasukan tuan rumah pada minit ke-65 manakala gol sagu hati Sime Darby hadir pada minit ke-71 menerusi Dilshod Sharofetdinov.

Selangor merampas tempat kedua carta liga daripada Johor Darul Ta’zim selepas mencipta kemenangan 1-0 ke atas Lions XII di Stadium Shah Alam.

Pemain import dari Australia, Steve Pantelidis, menjadi wira skuad ‘Gergasi Merah’ selepas menjaringkan gol tunggal pasukan itu pada minit ke-23.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mengalahkan Selangor PKNS FC 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selangor PKNS FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Patrick Ronaldinho pada minit ke-23.

Kegembiran pasukan pelawat tidak kekal lama apabila ATM berjaya menyamakan kedudukan menerusi Bruno Martelotto pada minit ke-29.

S. Thinagaran kemudian menambah duka pasukan pelawat menerusi jaringan pada minit ke-59 sebelum Yusaini Hafiz Chee Saad menjaringkan gol ketiga pada minit ke-76.

Afizee Faisal menambah jaringan untuk ATM pada minit ke-90.

Terengganu terpaksa menerima aib di depan penyokong sendiri selepas kalah 0-2 kepada pasukan tercorot Liga Super iaitu Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Perlawanan dicemari insiden pergaduhan apabila Pengurus Pasukan JDT II, Onn Jabar, menumbuk pengadil Sukri Abdul Rahman kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan selepas tamat perlawanan.

Kejadian itu menimbul suasana kecoh di dalam stadium apabila penonton mula menunjukkan rasa marah kepada Sukri namun pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan apabila pengadil berkenaan dibawa keluar pada kira-kira 11.15 malam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");