Isu Panas

Pemilihan PKR Kali Ini Lebih Perlihat Acara Jenaka, Londeh Melondeh

ruslan-kassim-bekas-penerangan-pkr-anwar-perkasa
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kasim menyifatkan pertandingan pemilihan jawatan di dalam parti tersebut sebagai satu manifestasi kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai faktor perpaduan dalam menyatukan pasukan pemimpin-pemimpin di dalam partinya sendiri.

Jelas beliau, wujudnya kelompok atau kumpulan-kumpulan tertentu di dalam pertandingan ini memperlihatkan berlakunya konflik dalaman yang parah ibarat retak yang menanti belah.

“Wujudnya kumpulan yang pro kepada pemimpin tertentu, termasuk isterinya sendiri memperlihatkan bahawa Anwar tidak lagi menjadi faktor penyatuan di dalam PKR. Kumpulan Azmin, Khalid, Saifudin Nasution dan Nurul Izzah sendiri, akan cuba saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

“Contohnya seperti pertembungan Khalid dan Azmin, jelas merupakan kemuncak kepada konflik yang berlaku di dalam pentadbiran Selangor selama ini.

“Kumpulan itu pula masing-masing mendakwa direstui oleh Anwar. Masing-masing cuba untuk menjadi anak emas Anwar. Saya yakin, akan terjadinya adegan londeh-melondeh sesama sendiri dalam kempen pemilihan parti PKR yang akan berlansung tidak lama lagi,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau juga berpendapat, pemilihan PKR ini di mana berlakunya pertandingan yang tidak pernah terjadi di dalam sejarah politik negara seperti pertandingan Anwar menentang isterinya sendiri bagi merebut jawatan Presiden PKR, merupakan bukti bahawa pengurusan dan pentadbiran PKR di bawah kepimpinan Ketua Pembangkang itu amat bercelaru dan caca merba.

“Biarpun Anwar kata itu demokrasi, tetapi rakyat melihat sebaliknya. Walaupun ada juga ura-ura yang mendakwa kemungkinan Anwar akan tarik diri daripada bertanding merebut jawatan tersebut, bagi saya ia mungkin berlaku akibat menerima terlalu banyak kritikan daripada pemerhati luar mahupun daripada ahli dan kepimpinan parti itu sendiri.

“Bagaimanapun agak sukar Anwar untuk membersihkan kembali imej partinya yang dilihat begitu caca merba pentadbirannya, sekali pun beliau menarik diri daripada bertanding. Ini kerana hasrat Anwar itu telah diketahui umum di mana PKR hari ini dilihat sebagai sebuah parti tegar dalam mengamalkan kronisme dan nepotisme di peringkat tertinggi,” ujarnya.

Justeru itu kata Roslan, bagaimana Anwar boleh diharapkan untuk mentadbir dan memimpin negara sedangkan beliau jelas gagal untuk mentadbir partinya sendiri dan juga parti-parti di dalam pakatan dengan baik.

“Sebagai rakyat, saya yakin kita boleh menilai kemampuan Anwar untuk mentadbir. Kalau partinya sendiri pun ditadbir dengan caca merba dan kelam kabut, bayangkan bagaimana jika beliau dipilih sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir negara yang pastinya lebih banyak kerenah dan cabarannya.

“Sebab itu, ramai di kalangan penyokong tegarnya yang terdiri daripada golongan bijak pandai yang meninggalkan perjuangan Anwar dan PKR. Mereka sudah nampak bahawa Anwar tidak mampu untuk mentadbir negara dan tidak mempunyai kredibiliti untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Kelebihan Anwar hanyalah pada kepetahannya berhujah dan memutar belitkan fakta dan beliau sebenarnya tidak mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu mentadbir negara dengan cekap dan baik.

“Rakyat perlu sedar hakikat ini dan sekiranya kita menyerahkan pentadbiran negara kepada pemimpin yang partinya sendiri pun huru hara dan kucar kacir, secara tidak langsung kita telah membenarkan negara ditadbir oleh seorang pemimpin yang tidak berkemampuan untuk mentadbir yang bakal memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat itu sendiri,” tegasnya. -MediaUMNO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");