Berita Hari Ini

Pemegang Polisi Perlu Bayar Lebih Untuk Perlindungan Insurans

duit
PETALING JAYA: Banyak syarikat insurans menaikkan caj dan premium mereka sehingga 20% apabila berhadapan dengan tuntutan lebih tinggi berikutan kenaikan kos perubatan.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Ejen- Ejen Insurans Hayat dan Perancangan Kewangan Malaysia (Namlifa), Kho Chui Ing berkata, kebanyakan syarikat telah menyelaraskan caj dan premium mereka bagi polisi perubatan, kesihatan dan berkaitan pelaburan sejak beberapa bulan lepas kerana berhadapan dengan inflasi perubatan.

“Beberapa syarikat menawarkan polisi yang ditambahbaik dan pada masa yang sama meningkatkan premium manakala yang lain hanya menaikkan caj polisi dan premium,” kata beliau sambil menambah bahawa syarikat insurans hanya perlu mengeluarkan notis bertulis 30 hari kepada pemegang polisi bagi kenaikan untuk berkuat kuasa.

Pemegang polisi mesti mematuhi kadar baharu atau menghadapi risiko luputnya polisi mereka.

Mengakui bahawa ejen mempunyai masa yang sukar bagi memperjelaskan tentang kenaikan itu, Kho berkata, Namlifa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kebajikan 12,000 ahli dan pemegang polisinya.

“Kami juga merupakan pemegang polisi dan kami juga perlu membayar kadar yang sama dengan manfaat yang sama seperti pelanggan kami. Pemegang polisi perlu melihat apa yang menyebabkan inflasi tersebut dan cuba untuk menyelesaikan perkara itu dan bukannya memarahi syarikat atau ejen insurans.

“Malah peniaga menaikkan harga mereka berkeras mengatakan bahawa mereka tiada pilihan tetapi disebabkan oleh kenaikan kos bahan,” kata beliau sambil menambah bahawa Namlifa akan bekerjasama dengan Bank Negara untuk memastikan pertumbuhan lebih mapan dalam industri.

Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) baru-baru memberitahu pemegang polisi bahawa premium dan caj pelan perubatan PRUmajor (PMM) Premium akan dinaikkan berkuat kuasa dari tarikh tahunan polisi individu.

PMM merupakan pelan perubatan dan rawatan di hospital yang dilampirkan kepada pelan insurans berkaitan pelaburan (dikenali sebagai pelan PRUlink ) yang ditawarkan oleh PAMB.

Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Philip Seah berkata, hanya mereka dengan pelan PMM yang dilampirkan kepada polisi berkaitan pelaburan mereka akan dimasukkan dalam semakan itu.

Beliau berkata, peratusan peningkatan berbeza dari individu ke individu, bergantung kepada jenis pelan. Sebarang semakan hanya dibuat selepas mengambil kira kenaikan kos dan kekerapan orang yang mendapatkan rawatan. Ini bertujuan untuk memastikan pemegang polisi terus menikmati perlindungan perubatan dalam jangka panjang.

“Kami telah meningkatkan had seumur hidup dalam semua pelan PMM bagi memastikan pemegang polisi dapat menampung kenaikan inflasi perubatan,” kata beliau sambil menambah bahawa inflasi perubatan di Malaysia pada masa ini kira-kira 10% setiap tahun dan dijangka akan terus meningkat.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan membenarkan kenaikan maksimum 14.4 % dalam yuran perubatan swasta, iaitu hampir separuh daripada 30% yang diminta oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Seck Guan berkata, insurans kesihatan dan perubatan yang menyumbangkan RM920 juta dalam jumlah bahagian pasaran sektor itu pada tahun lepas, dijangka berkembang berikutan peningkatan permintaan dalam sektor penjagaan kesihatan selaras dengan pembangunan negara sebagai hab perubatan.

Presiden MMA, Datuk Dr N.K.S. Tharmaseelan berkata, syarikat-syarikat insurans perlu mengawal pembaziran perbelanjaan oleh hospital dan bukannya meningkatkan premium. Mereka juga seharusnya membuat pemantauan terhadap bil-bil hospital dan bersuara sekiranya pihak hospital mengenakan caj berlebihan.

Setiausaha Agung Fomca, Datuk Paul Selvaraj berkata, syarikat-syarikat insurans tidak seharusnya membebankan pengguna untuk tuntutan perlindungan kerana insurans kesihatan merupakan satu keperluan.

“Sebarang kenaikan hendaklah hanya berdasarkan polisi baharu atau dinaik taraf, dan pemegang polisi perlu diberi pilihan sama ada mereka mahu mendapatkan manfaat tambahan itu atau tidak. Jika mereka berpuas hati dengan perlindungan itu, syarikat-syarikat insurans tidak perlu memaksa mereka untuk membayar lebih,” katanya.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");