Sukan Hari Ini

Gerrard terbaik di Eropah

Britain Soccer Premier League

LONDON: Pengendali Liverpool, Brendan Rodgers melabel Steven Gerrard sebagai pemain tengah terbaik di Eropah.

Rodgers menyuarakan kehebatan pemain tengah England itu menjelang aksi Liga Perdana England menentang Norwich City di Carrow Road malam ini.

Rodgers berkata, Gerrard memiliki kehebatan setanding perancang Barcelona, Sergio Busquets; Philipp Lahm (Bayern Munich), Fernandinho (Manchester City), Andrea Pirlo (Juventus), Daniele De Rossi (AS Roma), Nemanja Matic (Chelsea) dan Thiago Motta (Paris Saint-Germain).

Meskipun terdapat beberapa pandangan yang berbeza, Rodgers tetap memuji peranan kapten yang membantu kebangkitan skuad The Reds sejak akhir-akhir ini.

“Tidak ramai pemain yang mampu melakukan seperti mana yang dilakukannya. Selain menjadi salah seorang pemain tengah menyerang terbaik di Eropah dan Gerrard turut berkemampuan untuk membantu benteng pertahanan pasukan.

“Anda lihat pada pemain-pemain bola sepak terbaik di Eropah, mereka bermain dengan pasukan dan kelab terbaik. Saya tidak akan menukarnya dengan mana-mana pemain berdasarkan apa yang telah diberikannya kepada kelab.

“Dia adalah seorang perancang, unik, bijak dan cepat membaca corak permainan pasukan lawan untuk membolehkannya mengawal permainan menerusi skil yang dimiliki.

“Dia juga mampu bermain di posisi pertahanan dan merampas bola. Namun, dia kurang diberi kredit meskipun bijak membaca corak permainan pasukan lawan,” kata Rodgers.

Rodgers berkata, beliau sukar untuk melupakan detik di mana Gerrard menukar corak permainan ketika menentang Aston Villa, Januari lalu.

Pada aksi di Stadium Anfield itu, Liverpool ketinggalan 0-2 tetapi berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2.

Keputusan seri itu cukup penting kerana ia merupakan detik permulaan buat Liverpool untuk melebarkan rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2014.

Sepanjang 12 perlawanan liga, Liverpool berjaya mengutip 34 mata dan kemenangan ke atas Norwich malam ini akan mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas, sekali gus mencerahkan peluang untuk menjulang trofi Liga Perdana England musim ini.

– Agensi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");