Perak Hari Ini

Penyertaan Wakil TLDM Diambil Kira Untuk Pembangunan Di Lumut

PERAK TODAY 8
Setiap projek pembangunan yang mahu dilaksanakan di bandar Lumut perlu mengambil kira penyertaan wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menghindar kesan negatif di masa akan datang termasuklah dari aspek hidrografi, alam sekitar dan keselamatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ketika ini, sudah ada wakil dari TLDM dilantik sebagai Ahli Majlis kepada pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“Pelantikan yang mengikut peruntukan khas di bawah peraturan PBT ini bertujuan mengambil kira pandangan pihak TLDM sebelum melaksanakan sebarang pembangunan seperti projek membina bangunan dan perumahan di bandar Lumut.

“Jika pandangan pihak tersebut tidak diambil kira, ia boleh menimbulkan kesan negatif kepada aspek hidrografi, alam sekitar dan keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong bersama warga TLDM di Lumut, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, berkata perhatian serius perlu diambil oleh kerajaan negeri memandangkan bandar Lumut merupakan pusat pertahanan negara.

Sementara itu, program pembersihan bandar Lumut yang berkonsepkan ‘Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’ berjaya memelihara dan menjaga kebersihan bandar itu yang telah diwartakan sebagai bandar maritim.

“Program ini mencerminkan keprihatinan TLDM dalam memastikan Bandar Lumut sentiasa ditahap yang terbaik sesuai dengan ungkapan ‘Bandar Tentera Laut’,” katanya.

Ujarnya lagi, pembersihan dan pemeliharaan dikawasan tersebut juga perlu dilakukan kerana tempat tersebut merupakan tempat terpenting di Malaysia.

“Bandar ini perlu diberi perhatian kerana bandar ini merupakan bandar asas kepada tentera laut yang terbesar di Malaysia,” katanya lagi.

Kawasan tersebut katanya lagi, bukan sahaja dipandang daripada segi kebersihan, malah dalam beberapa aspek lain.

“Ada beberapa perkara yang menjadi perhatian kita untuk dilihat bagi memastikan kawasan ini sentiasa terpelihara dan lebih selamat,” ujarnya.

Program seumpama itu katanya, bukan sahaja dapat mendidik rakyat untuk menjaga dan memulihara bandar tersebut malah dapat menjadikannya sebagai budaya positif yang diterapkan di setiap peringkat.

“Program sebegini dapat mendidik orang awam untuk lebih menjaga kawasan ini kerana bandar ini merupakan bandar yang cantik.

“Kalau boleh, saya nak budaya menjaga kebersihan ini ada dalam setiap peringkat,” katanya.

Program tersebut telah dihadiri oleh 1,000 orang peserta daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Pelatih Khidmat Negara (PLKN) dan anggota TLDM.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");