Membawang Hari Ini

Rahsia Deanna Yusoff

d yusof

NAMA figura ini dalam industri seni bukan asing lagi. Bahkan dia pernah mengharumkan nama industri selepas terlibat dalam sebuah filem Hollywood, ‘Anna And The King’.

Menariknya mengenai wanita berwajah pas Asia ini, sejak awal pembabitannya dalam industri seni, tidak banyak kisah peribadinya yang disingkap seiring dengan karier seninya.

Meskipun sesetengah pihak berpendapat, kehidupan seseorang akan berubah tatkala bergelar selebriti kerana tiada lagi istilah privasi, Deanna Yusoff pula membuktikan sebaliknya.

Tanpa kisah-kisah kontroversi murahan ataupun pendedahan mengenai kisah peribadi, dia masih boleh dikenali dan bakatnya juga dipandang oleh penggiat seni.

“Sejak dulu lagi, saya memang tidak suka bercakap mengenai kehidupan peribadi saya. Biarlah orang mengenali saya kerana hasil kerja saya.

“Bahkan bukan saya sahaja yang tidak suka bercakap mengenai hal peribadi, keluarga saya juga sama dan meminta saya tidak mencampur adukkan hal peribadi dengan kerjaya saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.

Meskipun masih sendiri, itu bukan alasan buat Deanna tidak menikmati kehidupannya, malah dia gembira kerana dikelilingi oleh rakan-rakan dan keluarga yang banyak mengisi ruang dalam hidupnya.

Masih setia

Kini biarpun ramai nama baru mula membanjiri industri nama Deanna masih lagi menjadi sebutan. Meskipun tawaran lakonan tidak sekencang dulu, namun kedudukannya masih belum mampu diganggu gugat.

Berkongsi perkembangan terkininya, Deanna berkata, dia masih berada di Malaysia dan terlibat dengan beberapa persembahan korporat.

“Ramai yang menyangka saya dah pindah ke luar negara dan berhenti berlakon. Saya masih mendapat tawaran berlakon, namun ada beberapa sebab projek-projek tersebut terpaksa dibatalkan.

“Tawaran berlakon memang banyak tetapi kebanyakannya adalah watak yang pernah saya terima sebelum ini sebab itu saya jarang muncul di layar perak atau kaca TV,” katanya yang muncul dalam filem CEO dan akan ditayangkan pada 12 Jun ini.

Sementara itu, Deanna berkata, selain aktiviti seni, dia juga sibuk menguruskan syarikatnya iaitu Artisanal Asia Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan yang diberi nama Grandjean iaitu coklat premium daripada Switzerland.

“Coklat premium dari Switzerland ini adalah antara terbaik dan saya memilih coklat terbaik untuk di bawa masuk ke sini. Setakat ini perniagaan berjalan lancar dan sering mendapat tempahan untuk majlis-majlis korporat atau perkahwinan.

“Saya juga merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan ini dengan membawa masuk lebih banyak coklat terbaik daripada sana,” ujarnya.

Berkecil hati?

Berkongsi mengenai filem terbarunya, Deanna berkata dia memegang watak sebagai seorang peguam. Namun bezanya kali ini, ada unsur komedi yang diselitkan dalam watak itu.

“Walaupun watak saya kecil, tapi saya terima kerana kelainan watak ini dan saya seronok bekerja dengan pengarah baru seperti Razaisham Rashid, kerana mereka terbuka untuk menerima pendapat dan idea pelakon.

“Bagi saya, ada pengarah yang dah lama mengarah tapi masih belum menghasilkan kerja yang bagus. Tapi berkerja dengan Razaisham mudah kerana dia dan pelakon mempunyai matlamat yang sama,” katanya yang turut teruja berlakin bersama pelakon yang terlibat dalam filem ini.

Bagaimanapun tatkala pelancaran filem tersebut baru-baru ini ramai yang tertanya-tanya tidakkah Deanna berkecil hati kerana pihak penerbit tidak meletakkan wajahnya dalam poster filem terbaru mereka.

“Pelakon utama adalah Remy Ishak, Beto Kusyairy dan Cristina Suzanne. Wajah mereka yang selayaknya ada dalam poster filem ini. Saya hanya memegang watak kecil dan tidak ada masalah langsung apabila mereka tidak meletak wajah saya dalam poster ‘CEO’,” jelasnya.

Kongsi tip kecantikan

Sementara itu, di tebak mengenai rahsia kecantikannya, Deanna lantas ketawa kecil.

“Betul ke saya masih cantik?” usiknya.

Jelas Deanna dia tidak mengamalkan apa-apa petua dan hanya mengambil makanan berkhasiat, cukup tidur dan rehat.

“Paling penting dalam hidup kita, kita kena selalu fikir positif. Jauhi diri kita dari perkara yang negatif dan suka kritik sana, kritik sini.

“Jangan anggap diri kita sentiasa di atas dan pandanglah bawah. Kadangkala bukan sahaja pemakanan yang memainkan peranan untuk kita nampak cantik, tapi juga peribadi kita,” akhirinya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");