Jenayah

Remaja, warga emas ditahan ketika beli nombor ekor

judi

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja bawah umur dan seorang warga emas antara 21 yang ditahan dalam Ops Maisir yang dijalankan di beberapa premis judi di sekitar Kuala Terengganu oleh bahagian penguatkuasaan Majlis agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) petang kelmarin.

Remaja dan warga emas berusia lingkungan 60-an itu ditangkap ketika sedang membeli nombor ekor, tanpa menyedari premis yang dikunjungi mereka diserbu dalam operasi yang dijalankan bagi membanteras perjudian dalam kalangan umat Islam, di sini.

Operasi yang menyasarkan premis judi haram yang berselindung di sebalik perniagaan lain itu diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Maidam, Moktar Salleh bersama 40 anggota penguat kuasa lain.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata, operasi selama tiga jam berakhir jam 8 malam itu dijalankan kerana bimbang gejala judi semakin berleluasa di negeri ini sekiranya tidak dibendung.

“Tujuan operasi adalah untuk kita membuat pencegahan dan tangkapan bagi menghalang orang Islam terlibat dengan judi.

“Kita menerima aduan dan telah menyiasat aduan itu serta mendapati banyak tempat perjudian di negeri ini,” katanya yang turut menyertai operasi itu.

Keadaan turut menjadi kecoh apabila ada dalam kalangan mereka yang ditahan enggan memberi kerjasama, malah cuba meloloskan diri ketika pemeriksaan dijalankan.

Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 65 tahun dan ditahan di empat buah premis judi serta dibebaskan malam tadi dengan seorang penjamin.

Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat Maidam dan didakwa di bawah Seksyen 22 (1) enakmen kesalahan jenayah syariah dan takzir Terengganu kerana hadir di premis perjudian, yang boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua
duanya sekali.

Selain menahan 21 individu, Maidam turut dirampas wang tunai berjumlah RM742.50, komputer dan telefon bimbit.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");