Laporan Eksklusif

GERAM Buat Laporan Polis Terhadap Surendran Kerana Hina Mahkamah

GERAM

Gerakan Rakyat Marhein (GERAM) hari ini membuat laporan polis terhadap N. Surendran kerana menghina hujah penghakiman Mahkamah Rayuan membabitkan kes liwat Anwar Ibrahim.

Presidennya, Norafiq Mohd Nor, berkata kenyataan media pada 18 April lalu yang dibuat oleh Naib Presiden PKR itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Tindakan Surendran itu seolah-olah menghasut rakyat untuk mempersoalkan kredibiliti sistem kehakiman di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap wakil rakyat pembangkang itu di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur.

Katanya, ia bertentangan dengan kes penghinaan mahkamah yang dibuat oleh Anwar Ibrahim terhadap Ibrahim Ali, Presiden Perkasa dan penulis rencana dalam laman web PERKASA iaitu Zainuddin yang mempertikaikan keputusan penghakiman  kes saman fitnah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (M) Bhd.

“Dalam kes ini, Anwar dan Zainudin menghina mahkamah kerana menyerang Singham, iaitu hakim dalam kes saman fitnah itu.

“Disebabkan itu, Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 manakala Zainuddin pula dikenakan hukuman penjara selama empat minggu,” katanya lagi.

Sebaliknya, Surendran katanya, bersikap hipokrit dengan memperlekehkan kaedah penghakiman Mahkamah Rayuan dalam Kes Liwat Anwar Ibrahim.

“Tindakan beliau itu jelas menghina keputusan Mahkamah Rayuan. Kita boleh lihat di sini bagaimana Anwar mempergunakan undang-undang untuk menghukum rakyat marhein yang mempersoalkan keputusan mahkamah tapi dalam masa yang sama apabila Naib Presiden PKR, N Surendran dan Rafizi Ramli melakukan perkara yang serupa, ia seolah-olah menjadi halal pula bagi mereka,” kata beliau lagi.

Justeru, GERAM katanya, berharap pihak polis mengambil tindakan segera terhadap Surendran.

“Kalau pemimpin-pemimpin politik boleh menggunakan undang-undang terhadap rakyat marhein yang mempersoalkan keputusan pengadilan mahkamah hingga dijatuhkan hukuman denda dan penjara, rakyat marhein juga berhak melakukan perkara yang sama apabila pemimpin-pemimpin politik ini mempersoalkan keputusan yang telah dibuat di mahkamah,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");