Perak Hari Ini

‘Kalau Ada Pengguguran, Ia Tetap Akan Berlaku’

zambry
“Kalau ada pengguguran, ia akan tetap berlaku juga,”.

Begitu jawapan ringkas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditanya pemberita mengenai khabar angin pengguguran beberapa nama Menteri Besar yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Spekulasi pengguguran beberapa nama Menteri Besar kini dipaparkan di laman blog tempatan yang menyaksikan Dr Zambry antara calon yang tersenarai.

Selain Zambry, calon Menteri Besar lain yang tersenarai ialah
Menteri Besar Johor (Khaled Nordin), Menteri Besar Negeri Sembilan (Mohamad Hasan), Menteri Besar Terengganu (Ahmad Said), Menteri Besar Pahang (Adnan Yaakob), Menteri Besar Perlis (Azlan Man) dan Menteri Besar Kedah, (Mukhriz Mahathir).

Manakala Ketua Menteri Melaka (Idris Haron) dan Ketua Menteri Sabah (Musa Aman) pula dikecualikan kerana mereka adalah Ketua Menteri.

Semalam, satu tulisan pojok dalam Mingguan Malaysia membangkitkan spekulasi bahawa dua menteri besar bakal diganti tidak lama lagi.

Tanpa menamakan nama mana-mana menteri besar yang dimaksudkan, tulisan dalam akhbar itu turut mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sudah mempunyai senarai nama sebagai pengganti.

Dalam pojok Bisik-bisik Awang Selamat itu, editor berkenaan turut menyokong usaha berkenaan, yang menurutnya mampu “menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri.”

“Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.

“Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus.

“Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu,” tulisan itu dipetik.

Umno kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut – Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Selain itu, ketua menteri Umno turut mengetuai pentadbiran di dua negeri, Melaka dan Sabah.

Dalam tulisan berkenaan, editor akhbar berkenaan turut melahirkan hasrat agar Najib memperkenalkan muka baru untuk jawatan tertentu dalam Umno.

“Bukan sahaja kepimpinan negeri, ramai yang menyimpan harapan agar perdana menteri yang juga presiden Umno menampilkan muka baharu bagi beberapa jawatan (lantikan) tertentu dalam parti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");