Laporan Eksklusif

Kerajaan komited laksana pembangunan seimbang

pm pembangunan

Kuala Lumpur: Pembangunan semula Projek Perumahan Awam 1Razak Mansion, di sini adalah bukti manifestasi dan iltizam Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan konsep pembangunan seimbang bukan sahaja di luar bandar, malah di bandar dan kota raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek itu adalah usaha kerajaan murni untuk memastikan penghuni dapat menikmati mutu hidup lebih baik dan selesa.

“Seperti mana kita tahu, kawasan perumahan ini boleh dikatakan dekat di hati saya kerana Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua Malaysia yang juga bapa Najib) pernah menjejakkan kaki ke sini dan seterusnya merasmikan Kawasan Perumahan Awam Razak Mansion 47 tahun lalu, pada 26 April 1967.

“Masa berlalu, 47 tahun sudah berlalu, maka sudah tiba masanya kawasan perumahan ini yang kini berada dalam keadaan yang agak usang… memerlukan pembangunan semula selaras dengan prinsip ‘urban renewal’ (pembaharuan bandar) atau ‘urban redevelopment’ (pembangunan semula bandar),” katanya pada majlis pecah tanah projek pembangunan semula dan penyerahan surat pengesahan tawaran unit rumah 1Razak Mansion di sini, semalam.


Persekitaran lebih moden

Turut hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta 658 bakal pemilik rumah seluas 800 kaki persegi (74 meter persegi) bernilai RM250,000 seunit.
Pembangunan semula itu akan mewujudkan suasana persekitaran lebih moden dan selesa, membabitkan sebanyak 658 unit rumah, 23 kedai, 110 lot pasar dan pelbagai kemudahan seperti pejabat kecil, dewan, surau, TADIKA, pejabat persatuan penduduk, pondok polis dan bilik pengurusan mayat.

RM4b Dana Mudahcara

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM4 bilion untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta berimpak tinggi dan strategik yang membolehkan pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon geran sebanyak 10 peratus daripada kos projek.

Katanya, sebanyak RM1 bilion daripada dana terbabit dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang menetapkan penerima geran itu, mesti mematuhi terma dan syarat serta harga jualan rumah yang ditetapkan.

“Kerajaan juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik Kerajaan.

“Manakala sejumlah RM100 juta disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memperuntukkan RM82 juta bagi memulihkan lagi sebanyak 20 projek rumah terbengkalai membabitkan 8,197 buah rumah,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");