Berita Hari Ini

Autisme: Najib umum dua inisiatif

najib 4

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Seminar Antarabangsa Berhubung Autisme 2014 di sini dan mengumumkan dua inisiatif utama iaitu penubuhan Pusat Autisme Kebangsaan dan mengisytiharkan projek PERMATA Kurnia sebagai Pusat Kecemerlangan Kebangsaan bagi Autisme.

Beliau berkata Pusat Autisme Kebangsaan diusahakan memandangkan kerajaan mahu mewujudkan satu sistem campur tangan awal yang komprehensif, menyokong dan memperkasakan keluarga dan memastikan tenaga golongan profesional yang berkesan dan mencukupi bagi menangani autisme.

Najib berkata pusat itu akan beroperasi menjelang Mei tahun depan. “Berikutan fenomena peningkatan autisme di peringkat global, banyak negara bertindak balas kepadanya secara proaktif dengan pelan tindakan nasional yang preskriptif bagaimana untuk mewujudkan satu sistem campur tangan awal yang komprehensif, menyokong dan memperkasa keluarga bagi memasikan wujudnya tenaga golongan profesional yang berkesan dan mencukupi dalam bidang ini,” katanya.

Lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara menyertai seminar dua hari berhubung autisme di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Penaung seminar itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Najib berkata beliau yakin PERMATA Kurnia akan mengubah landskap pendidikan khas di Malaysia.

Beliau berkata kanak-kanak austisme, sama seperti kanak-kanak yang lain, adalah satu kurniaan dan rahmat Allah Yang Maha Berkuasa dan menjadi tanggungjawab untuk memupuk potensi yang ada pada mereka.

Najib turut berkongsi dengan para peserta seminar berhubung matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, satu daripada petunjuk yang telah dipersetujui bagi mencapai matlamat itu ialah untuk memastikan pendidikan inklusif dengan kanak-kanak yang kurang upaya mendapat pendidikan yang sama seperti rakan-rakan mereka.

Beliau berkata Malaysia benar-benar percaya setiap orang berhak mendapat pendidikan, untuk menjadi orang yang berjaya dan sebagai balasan kembali menyumbang kepada negara.

“Dalam kes kanak-kanak dengan masalah pembelajaran, kita sepatutnya tidak melihatnya sebagai satu tragedi memandangkan tragedi berlaku apabila kita terus mengabaikan hak-hak dan keperluan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran,” katanya.

Najib berkata dengan infrastruktur dan kurikulum yang betul, kanak-kanak dengan autisme bersama-sama dengan rakan-rakan biasa mereka yang lain akan menjadi satu aset kepada negara pada masa depan.

Dalam usaha menangani isu ini daripada perspektif sistem pendidikan, kerajaan Malaysia telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang termasuk memberi tumpuan dalam menyediakan akses yang sama untuk pendidikan berkualiti.

“Marilah kita bertekad untuk (membantu) kanak-kanak dengan autisme dan masalah pembelajaran yang lain,” katanya.

Najib berharap seminar antarabangsa autisme akan mencapai matlamatnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung autisme dan membantu peserta mewujudkan rangkaian kerjasama di kalangan mereka bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada kanak-kanak dengan autisme dan keluarga mereka.

“Usaha meningkatkan kesedaran sahaja tidak cukup, kami ingin melihat golongan profesional, pembuat dasar, ibu bapa dan guru-guru yang keluar daripada seminar ini dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan mampu membawa satu perubahan dalam kehidupan setiap kanak-kanak dengan autisme yang ditemui mereka,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");